Pelakon sensasi Fathia Latiff  berasa terkilan kerana tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat produksi selama ini.
Namun, dia tetap bersyukur kerana pengarah dan penerbit Erma Fatima masih memberikan peluang dan mempercayai bakatnya untuk terlibat dalam drama rantaian Bidaah yang akan ditayangkan di platform penstriman Viu bermula 6 Mac depan.
“Saya sedikit terkilan kerana pihak produksi tidak memberikan sebarang tawaran berlakon.
“Jadi, saya bersyukur juga kerana kak Erma Fatima memberi peluang untuk saya kembali dalam industri.
“Saya percaya rezeki itu di tangan Tuhan, cuma cepat atau lambat sahaja,” ulasnya.
Fathia berkata demikian ketika ditemui usai majlis pelancaran dan sidang media drama Bidaah, yang berlangsung di Aloft Hotel baru-baru ini.

Sementara itu, Fathia menolak dakwaan kononnya ada pihak beranggapan dirinya sudah berhenti berlakon.
Sekaligus menjelaskan bahawa dia bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak produksi drama atau filem.
“Saya tidak pernah berhenti berlakon, cuma setakat ini hanya Erma Fatima sahaja yang menawarkan saya peluang kerja.
“Mungkin ramai menyangka saya sudah tiada dalam industri, jadi jika ada yang ingin menawarkan saya watak, boleh terus menghubungi saya,” katanya.

Berkongsi lanjut, teraju utama drama Ariana Rose ini menjelaskan sebab kenapa dia kurang berkongsi hantaran di media sosial miliknya.
Jelasnya, dia kini lebih menitik beratkan soal privasi apatah lagi mahu menjaga kesihatan mentalnya.
“Kini saya lebih menjaga privasi dan tidak mahu mendedahkan rutin harian kepada orang ramai.
“Saya lebih selesa menyimpannya sendiri kerana ia baik untuk kestabilan mental saya.
“Jadi, saya hanya akan memuat naik perkara yang berkaitan dengan kerja sahaja,” jelasnya.
Selain Fathia, naskhah ini turut menampilkan pelakon seperti Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana, Marisa Yasmin, Vanidah Imran, Fazlina Ahmad Daud, Hasnol Rahmat, dan Malia Baby.