Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Filem Seram ‘Polong’ Dapat Sentuhan Zulkarnain Azhar Selaku Pengarah… Tampilkan Mimi Lana, Namron, Nadiya Nisaa & Ramai Lagi

today2 March 2025

Background

Seiring dengan perkembangan pesat industri perfileman, genre seram terus menjadi kegemaran ramai penonton.

Menyedari potensi ini, Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) tampil dengan filem sulung mereka berjudul Polong.

Pengarahnya, Zulkarnain Azhar, berkongsi bahawa dia tertarik untuk mengarahkan filem ini kerana jalan ceritanya yang unik dan penuh makna.

“Polong membawa tema tentang dosa silam, warisan yang ditinggalkan, serta akibat yang tidak dapat dielakkan akibat perbuatan masa lalu, khususnya berkaitan amalan ilmu hitam.

“Ia bukan sekadar filem seram biasa, tetapi turut menjadi simbolik kepada kegelapan yang mungkin wujud dalam diri kita sendiri, sama ada akibat kesalahan masa lalu atau trauma yang belum diselesaikan,” jelasnya.

Kisah Polong berkisar tentang Maria Hadi, seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam dan dibayangi dosa silamnya. Namun, ketika di penghujung hayatnya, dia cuba mencari keampunan.

Dalam usahanya, Maria terpaksa menyerahkan polong belaannya kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Namun, selepas kematiannya, polong itu bangkit dengan dendam, menyebabkan pewaris Maria terpaksa berdepan dengan sumpahan yang ditinggalkannya.

Filem ini bakal memulakan penggambaran pada bulan Mei dan menampilkan barisan pelakon popular seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa.

Filem Seram Taruhan GSPSB

Sementara itu, penerbit eksekutif, Onn Norshal Hamzah, menjelaskan bahawa GSPSB memilih genre seram sebagai projek sulung mereka kerana yakin dengan sambutan yang sentiasa tinggi terhadap filem sebegini.

“Pemilihan Polong dibuat melalui perbincangan mendalam, dengan mengambil kira potensi komersial yang tinggi serta daya saing dalam pasaran filem tempatan dan antarabangsa.

“Dengan kualiti penceritaan, produksi yang mantap, serta permintaan tinggi terhadap filem seram, GSPSB yakin Polong mampu memberi kelainan dan memenuhi standard tinggi dalam industri,” katanya.

 

Menyentuh tentang pemilihan Zulkarnain sebagai pengarah, Onn menekankan bahawa pengalaman pengarah itu menjadi faktor utama.

“Zulkarnain telah membuktikan kemampuannya menerusi kejayaan beberapa filem terdahulu seperti Takluk, Air Force, dan J Revolusi.

“Kami percaya, dengan kepimpinan Zulkarnain, Polong bakal menjadi naskhah yang dinanti-nantikan pencinta filem tempatan yang sentiasa dahagakan karya berkualiti dan komersial.

“Kerjasama dengan 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. sebagai pengedar dan agen pemasaran juga merupakan langkah strategik dalam memastikan filem ini mencapai sasaran pasaran yang ditetapkan.

“Kami yakin dengan kepakaran mereka dalam pengedaran dan rangkaian pawagam komuniti yang luas, Polong akan mendapat tempat di hati penonton,” ujarnya.

Written by: Aqilah


Previous post