Nama personaliti serba boleh, Roslan Shah, kembali mencuri perhatian ramai selepas kemunculannya dalam program Night Walk terbitan MBK Film Studio yang sering menjadi tular di media sosial. Dikenali dengan sikapnya yang ceria dan spontan, Roslan tidak menyangka popularitinya meningkat dengan begitu cepat selepas tiga bulan program tersebut mendapat sambutan luar biasa.
“Sebelum muncul dalam video Night Walk, pengikut saya di TikTok cuma sekitar 60,000 orang. Alhamdulillah, selepas beberapa kandungan tular dan ramai yang menonton episod bersama artis-artis undangan, jumlah itu melonjak kepada lebih 236,000,” katanya.
Roslan mengakui peningkatan itu turut dipacu oleh kolaborasinya bersama rakan baik yang juga pempengaruh terkenal, Mangobossku, yang menjadi tenaga utama di sebalik kejayaan program tersebut di saluran YouTube MBK Film Studio.
“Sejak bekerjasama dengan Mangobossku, nama saya makin dikenali. Ramai yang mula mengikuti saya dan memberi komen positif setiap kali saya buat siaran langsung di TikTok. Tapi biasalah, ada juga segelintir yang kurang senang. Kadang-kadang saya pun terfikir, betul ke orang suka tengok saya?” katanya sambil tersenyum.
Walaupun berdepan komen negatif, Roslan memilih untuk fokus kepada sokongan yang diterima dan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berkarya.
“Saya terharu bila ramai kata mereka terhibur dengan gelagat saya yang selamba. Ada juga yang mesej cakap video saya buat mereka hilang stres. Itu buat saya rasa sangat bersyukur. Sekarang, tawaran kerja sebagai pengacara, penyanyi dan duta produk pun makin banyak. Saya anggap ini rezeki berkat doa arwah ibu,” tuturnya.
Selain aktif di platform digital, Roslan juga gembira dengan penerimaan positif terhadap single terbarunya Hantu Hantu Hantu, ciptaan Adi 6ixth Sense dan Emma Rockers.
“Saya bersyukur lagu Hantu Hantu Hantu diterima baik oleh pendengar. Ramai yang beritahu lagu itu kerap diputarkan di radio tempatan dan luar negara. Saya paling terharu bila peminat dari Brunei mesej kata lagu saya selalu dimainkan di sana. Syukur, semuanya rezeki daripada Allah,” katanya lagi.
Roslan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong perjalanan seninya, termasuk rakan kolaborasi dan para peminat yang sentiasa memberikan semangat.