Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Gelaran Janda Sering Terima Respons Negatif… Fatin Afeefa Akui Tak Mudah Tutup Mulut Orang!

today22 September 2022

Background

Bergelar ibu tunggal sejak lima tahun yang lalu, pelakon Fatin Afeefa mendedahkan beliau menerima pelbagai gelaran negatif.

Namun, Fatin mengakui tidak mudah untuk menutup mulut orang yang mengata tentang wanita lain yang berstatus janda.

“Sejak bergelar ibu tunggal lima tahun lalu, macam-macam gelaran orang beri pada saya. Secondhand lah, kereta terpakai pun ada.

“Siapa yang tidak sedih, walaupun sayalah wanita yang menuntut cerai tetapi orang tetap mengata mengenai saya.

“Mulut orang tak boleh tutup. Dulu pun saya sedih juga tetapi lama kelamaan saya sedar bahawa orang takkan berhenti bercakap.

“Jadi, buatlah apa yang buat anda gembira,” katanya.

Pelakon dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini berkata, golongan lelaki adalah antara yang sering memberikan pandangan negatif terhadap golongan ibu tunggal.

Menurutnya, golongan lelaki ini ada yang suka mengawal perempuan namun, jika sebaliknya yang berlaku mereka mula merendah-rendahkan golongan janda.

“Selalunya orang yang mengutuk itu ialah segelintir golongan lelaki yang suka mengawal perempuan tetapi tidak dapat, sebab itu mereka merendah-rendahkan janda.

“Ada sesetengah wanita anggap lebih mudah kekal dalam perkahwinan yang tidak bahagia daripada jadi janda. Saya memilih untuk menjadi janda sebab saya ingin kejar kebahagiaan begitu juga untuk anak-anak,” jelasnya.

Sementara itu, Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 29, menjelaskan status janda itu tidak hina dan orang yang memiliki status ini perlu hidup dengan lebih gembira.

Fatin berkata demikian selepas ditanya oleh salah seorang pengikutnya menerusi sesi siaran langsung di aplikasi TikTok miliknya baru-baru ini mengenai bagaimana untuk menghadapi pandangan negatif selepas bergelar ibu tunggal.

Untuk rekod, Fatin pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Adam Shahz sekitar tahun 2013 dan hasil perkongsian hidup tersebut, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata, Ivy Herra Sophia.

 

Sumber: Kosmo

Written by: Salma