Pejam celik-pejam celik dah masuk bulan Ramadan Al-Mubarak.
Setiap kali berpuasa mesti kita akan rasa tidak bertenaga dan lesu sepanjang hari.
Okay jangan risau! Jom cuba beberapa tip yang dikongsikan oleh Shuib menerusi segmen Geng Pagi Hot (GPH) bersama Shuk dan Fizie untuk kekal segar.

1. Minum air kosong secukupnya.
Perkara paling mudah untuk dilakukan untuk kekal segar adalah minum air secukupnya ketika berbuka dan bersahur. Bila badan mempunyai kandungan air yang cukup, maka badan akan kurang berasa letih dan muka pun makin berseri-seri betul tak? Dehidrasi pun tidak akan berlaku.
2. Lakukan senaman ringan
Bosan duduk rumah waktu PKP ini? Perut pun akan mudah rasa lapar bila tengah bosan. Jadi, apa kata kita lakukan senaman ringan. Bersenam dapat membantu melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan sekaligus mengurangkan rasa lesu. Cubalah!
3. Tidur secukupnya.
Ha, ini mungkin ramai yang suka! Untuk kekal aktif, tidur yang cukup amat membantu. Kalau tidur dah lambat, macam mana kita nak bangun sahur? Apabila tak sahur, esok berbunyi pula perut tu. Oleh itu, susun jadual tidur yang teratur agar tubuh badan kekal segar sepanjang hari ketika berpuasa.
4. Jaga Pemakanan
Waktu PKP ini, memang pelbagai resepi dan menu baru nak dicuba. Tak salah nak berbuka puasa makan macam-macam tetapi sebaiknya amalkan pemakanan yang kurang minyak dan cuba menu sihat seperti rebus atau stim. Barulah dapat menampung tenaga pada siang hari.
5. Jangan tinggalkan sahur
Penting untuk kita mengalas perut dengan bersahur sebelum berpuasa keesokkan hari. Lagi pun, dapat pahala! Sebaiknya, jangan tidur selepas bersahur kerana makanan yang kita ambil itu akan diproses menjadi tenaga. Jadi, gantikan masa tidur itu dengan berzikir dan mengaji Al-quran.
Semoga semua tip ini berguna dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sihat!