Jelas beliau, hukuman rotan juga sama sekali tidak boleh dilaksanakan di khalayak ramai atau di tapak perhimpunan sekolah, seperti yang diperincikan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 berkaitan Kuasa Guru Merotan Murid, selain tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan.
“Hukuman rotan adalah antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk kesalahan buli, namun hukuman ini tidak bertujuan mendera, sebaliknya bertindak sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid supaya mereka dapat memahami implikasi perbuatan mereka.
“Hukuman rotan hanya boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan oleh pihak yang diberi kuasa.
“Kementerian Pendidikan (KPM) juga menegaskan pendekatan pendidikan yang bersifat membina, seperti bimbingan kaunseling dan pengukuhan nilai murni adalah langkah yang lebih efektif dalam membentuk peribadi murid yang berakhlak dan berintegriti,” katanya.