Penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi, Haqiem Rusli dikhabarkan kembali aktif di laman Twitter dan tidak mahu lagi terkesan dengan kritikan negatif daripada netizen.
“Sebelum ini memang saya berhenti gunakan Twitter kerana terlalu banyak kritikan dan kecaman netizen terhadap saya.” katanya.
Haqiem mula tidak menggunakan laman Twitter sejak Disember tahun lalu, dan keputusan untuk kembali aktif itu dilakukan demi peminatnya yang digelar Qiemilio supaya mereka dapat berinteraksi dengan lebih mudah berbanding laman sosial lain.
“Apabila saya fikirkan kembali, ia tidak adil buat peminat yang sentiasa menyokong saya dan Twitter pula medium paling mudah dan berkesan untuk saya berinteraksi dengan mereka. Atas dasar itu juga saya mengambil keputusan untuk tidak pedulikan haters dan fokus kepada peminat sahaja.” ujarnya lagi.
Sementara itu, Haqiem juga berharap tahun 2019 akan memberi sinar baru dalam kerjaya seninya selain terhindar daripada kontroversi seperti yang berlaku pada tahun lalu.
“Banyak yang saya belajar dari semua kontroversi yang berlaku dan saya jadi lebih kebal dengan segala kritikan dan kecaman daripada netizen terhadap saya.” tambahnya lagi.
Bercerita tentang perkembangan terbaru pula, Haqiem kini sedang dalam proses merakamkan tiga buah lagu terbaru termasuk sebuah lagu rancak dan balada serta sebuah lagu berbahasa Inggeris.