
PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima empat helikopter Leonardo AW 139 menggantikan helikopter Sikorsky S-61 Nuri yang ditamatkan operasi tiga tahun lalu, kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.
TUDM sudah menerima tiga daripada empat helikopter itu, sementara sebuah lagi dijadualkan diperolehi Mei nanti.
Hishammuddin berkata, helikopter yang diperoleh secara sewaan dari sebuah firma swasta itu adalah langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, serta untuk mengurangkan kebergantungan terhadap helikopter EC 725AP.
“Sewaan helikopter AW 139 ini dilaksanakan atas beberapa sebab, antaranya menampung penugasan helikopter Nuri yang tamat operasi selaras keputusan Kabinet pada 7 Ogos 2019,” katanya menurut laporan Berita Harian.
