Saban hari peningkatan bilangan pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19 semakin mencanak dan masih belum memberi petanda untuk negara pulih sepenuhnya.
Namun adalah lebih penting juga untuk kita menyedari tentang impak psikologi atau kesihatan mental ketika menghadapi bencana ini.
Perkara paling membimbangkan apabila seseorang yang pada luarannya nampak sihat dan kelihatan normal biarpun mempunyai simpton di skala satu dan dua dan dikehendaki untuk menjalani kuarantin diri di rumah namun hakikatnya segelintir pesakit ini mempunyai tahap sokongan mental yang rendah disebabkan rasa terkurung dan merasa diri seakan-akan disisihkan.
Antara Impak psikologi yang mungkin berlaku adalah gejala kemurungan, gemuruh dan stress namun jika kita mengamalkan berfikiran secara positif dan melihat dari sudut pandangan yang baik, sekurang-kurangnya pesakit Covid-19 mampu bertahan dengan lebih lama walaupun dibelenggu dengan rasa sakit badan dan persekitaran yang negatif.
Individu yang dijangkiti Covid-19 perlu bersikap lebih tenang dan positif kerana ianya dapat membantu tahap imunisasi badan untuk tetap kuat dan tabah melawan virus jahat.
Sebagai contoh terdekat, pelakon terkenal Nora Danish telah memuat naik gambar perkongsian di laman Instagram miliknya, menggambarkan seolah-olah fikirannya seakan-akan sedang berehat di tempat yang sejuk dan nyaman walaupun ianya hanya sekadar mengimbau memori lama percutiannya di salah sebuah negara beriklim dingin.

caption:
“Ada je ni……Tengah lepak jap! Ambik udara segar….”
Rata-rata peminat yang menjengah ke ruangan komen di Instagram miliknya meluahkan rasa kagum terhadap sikap positif yang ditampilkan oleh selebriti ini meskipun dirinya sedang menjalani tempoh kuarantin setelah disahkan positif Covid-19.

Menurut sumber sebuah laman portal, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif yang kini menjalani kuarantin diri dalam bilik di kediamannya juga bersyukur anggota keluarga lain negatif virus berkenaan.
“Saya hanya perlu kuarantin di rumah saja disebabkan tidak menunjukkan simptom kronik tanpa perlu ke pusat kuarantin ditetapkan. Dalam rumah ada suami dan dua anak kami”
Rata-rata warganet menyifatkan Nora Danish sebagai selebriti yang kelihatan sentiasa ‘enjoy’ dan tenang meskipun sedang dilanda musibah.
Namun, terbaharu selebriti ini ada memuat naik gambar berserta kenyataan bahawa dirinya harus tetap kuat dan tersenyum biarpun sukar untuk meluahkan rasa sedih yang dirasai.
“faking a smile is easier than explaining why ure sad ?”
Bukan mudah untuk bertahan dalam tahap kesihatan yang tidak begitu baik namun jika berfikir ke arah negatif seakan-akan membawa ke jalan yang lebih buntu dan membuatkan diri berasa murung serta membolehkan banyak perkara yang tidak diingini berlaku di luar jangkaan.
Justeru, sikap pesimis atau dalam erti kata mudah berputus asa dan kecewa ini adalah musuh utama minda dalam melawan wabak penyakit ini.
Oleh itu, diharapkan bagi individu-individu yang sedang menghidapi wabak Covid-19 ini untuk kekal tabah menghadapi segala ujian dan memperbanyakkan amalan seperti zikir sesungguhnya ia merupakan kunci kepada segala ketenangan yang diperlukan.
Ditulis Oleh: Puteri Haideera Zuraidi
Sumber: Instagram Nora Danish