“Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh”
Jika sebelum ini tular di media sosial apabila pelakon Lufya Omar dilemparkan tuduhan sebagai seorang yang anti-vaksin, kali ini hidupnya sekali lagi diselubungi dengan dakwaan-dakwaan yang tidak munasabah selain dihujani soalan yang bukan-bukan.
Memuat naik hantaran di laman Instagram, Lufya Omar atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar menemplak orang ramai untuk tidak sewanang-wenangnya menuduh dia sebagai individu yang tidak bertanggungjawab.
View this post on Instagram
Hantaran yang dimuat naik oleh selebriti itu jelas menunjukkan bukti bahawa dia sememangnya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan mengepil gambar tangkap layar temu janji yang telah diterimanya.
“Penat la nak layan perkara-perkara yang macam ni. Kita paham ada itu ‘herd immunity’ dan faham kepentingan vaksin terhadap masyarakat juga. Yg penting pilih vaksin yg terbaik dan halal…”
Lufya yang mengakui kehidupannya terganggu sejak dakwaan yang dilemparkan oleh seorang yang tidak bertanggungjawab menuduhnya sebagai anti-vaksin itu mungkin sedikit sebanyak telah memberi pengaruh yang besar kepada orang ramai untuk turut percaya mengenai dakwaan terbabit.
Mengetahui bahawa dakwaan tersebut adalah sesuatu yang sangat berat dan tidak benar sama sekali, Lufya tampil memberi penerangan lengkap mengenai keperluan pengambilan suntikan vaksin kepada orang ramai untuk lebih memahami dan elak daripada berlakunya salah faham.
“Untuk yang tak faham tentang ‘Herd Immunity’, Imuniti Kelompok atau Herd Immunity adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar di kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut. Cara terbaik mencapai Imuniti Kelompok adalah melalui vaksinasi”
“Apabila peratusan yang tinggi daripada penduduk telah diimunisasi, adalah sukar untuk penyakit-penyakit berjangkit merebak, kerana tidak ada ramai orang yang boleh dijangkiti”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut memberi nasihat kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan fitnah.
“Bila tak update pasal vaksin, hampa kecam anti vaksin…bila dah update settle vaksin hampa kecam jugak dapat cepat la itu la ini la…betoi la kita ni tak boleh puaskan hati semua orang???”
Malah, golongan selebriti di negara ini telah lama dinasihatkan untuk tidak menyebarkan fahaman anti-vaksin sebaliknya memanfaatkan pengaruh dimiliki untuk membantu kerajaan menggalakkan pengambilan vaksin dalam memerangi penularan Covid-19.
Jelaslah bahawa tohmahan yang dilemparkan itu adalah tidak benar semata-mata, ianya hanya andaian orang ramai yang tidak sama sekali mengetahui cerita sebenar di sebalik gosip yang tular mengenai selebriti ini.
Ditulis oleh: Puteri Haideera Zuraidi
Sumber: Instagram Lufya Omar