Lama tidak mendengar khabar penyanyi yang sudah berjaya melebarkan sayap ke persada antarabangsa, iaitu Yunalis Zarai atau lebih mesra dipanggil Yuna.
Mengikuti perkembangan terbaharu penyanyi berbakat besar ini, Yuna memaklumkan bahawa beliau kini berada di Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan kini sedang giat menyiapkan album baharu versi inggeris di tanah air yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.
Apabila ditanya mengenai perancangan untuk mengeluarkan album baharu di dalam bahasa Melayu, Yuna berkata buat masa ini, fokus beliau adalah kepada kariernya di Amerika Syarikat terlebih dahulu kerana itu punca pendapatannya ketika ini.
Menurut Yuna, bukan mudah untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu kerana ia memerlukan lebih masa untuk betul-betul menghasilkan lagu yang berkualiti dan bagus seperti yang pernah dikeluarkan Yuna sebelum ini iaitu Terukir Di Bintang dan Dan Sebenarnya.
Tidak mahu sekadar tangkap muat, Yuna mahu menghasilkan lagu berbahasa Melayu yang boleh diterima rakyat Malaysia dan ‘timeless’ untuk para peminatnya.
Selain itu, ditanya mengenai perancangan perayaan Aidilfitri tahun ini, Yuna memberitahu bahawa beliau akan beraya di Malaysia dan sangat bersyukur diberi kesempatan untuk menyambut perayaan bermakna itu bersama keluarganya.
Dalam pada itu, Yuna ketika ditemu bual semasa sidang media virtual koleksi hijab terbaru kerjasama antara jenama Putri N Rex dan Yuna berkongsi keterujaan dapat berkolaborasi bersama rakan baik iaitu Putri Rex, untuk koleksi hijab raya Putri N Rex bertemakan “Embracing Silaturrahim” yang bakal dilancarkan pada 25 Mac 2021 jam 8.30 malam di Instagram @theputrinrex.
Sumber : Yuna & The Putri N Rex