Sebelum ini tular di rata-rata media sosial mengenai sekumpulan personaliti media sosial ataupun ‘instafamous’ yang merentas negeri dari Kuala Lumpur sehingga ke Kelantan semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka.
Umum mengetahui meskipun beberapa negeri telah pun berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun larangan untuk merentas negeri masih dikuatkuasakan di seluruh negara.
Disebabkan perkara itu, ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan mempertikaikan tujuan mereka merentas negeri sehingga ramai yang mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan selain menuntut kenyataan sebenar dari instafamous berkenaan.
Mengikuti perkembangan terkini mengenai perkara tersebut, menerusi perkongsian Wartawan Media Prima Berhad, Mohd Redzuan Abdul Manap di Twitter miliknya, PDRM Daerah Kota Bharu, Kelantan kini sedang giat mengesan individu-individu terbabit.
Polis sahkan sedang kesan beberapa individu yang juga personaliti media sosial dipercayai melanggar SOP PKP termasuk merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan-KP Kelantan pic.twitter.com/4GrzmXO8nf
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) February 23, 2021
Menerusi kenyataan media yang di muat naik, kes akan disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (N0.3) 2021.
Harus diingatkan kepada anda semua untuk terus patuh dengan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), sama-sama kita jadi rakyat yang bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri.
Sumber : Twitter (@redzuanNewsMPB)