Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) tampil memberikan pencerahan berkenaan status hadis mengenai kisah cinta pertama Rasulullah SAW yang didakwa bahawa Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ sebanyak tiga kali.
Isu tersebut menjadi bualan ramai sehingga tular di media sosial menyatakan bahawa status hadis yang digunakan bagi mensabitkan kisah itu adalah palsu.
Menerusi laman Facebook rasmi, JMWP berkongsi status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW tersebut.
“Kisah berkenaan Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun ditolak adalah benar namun hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah, sewaktu beliau baru memeluk Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.
“Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.
“Seterusnya, menyatakan first love Nabi SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar,” tulisnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihati agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berkait dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Bagi menyampaikan sesuatu perkara kepada sekalian masyarakat, hendaklah dipastikan terlebih dahulu fakta yang ingin disampaikan itu berpunca daripada sumber yang betul dan diyakini benar.
“Hal ini supaya tidak berlaku kepincangan dalam kalangan masyarakat serta apa yang dipegang oleh masyarakat itu merupakan suatu perkara yang diyakini.
“Ingatlah bahawa perbuatan menyebarkan apa sahaja yang kita baca dan dengar tanpa memastikan kesahihannya boleh dikira sebagai seorang pendusta,” tulisnya.
Terdahulu, turut tular di media sosial apabila seorang pensyarah mendakwa seorang ustaz selebriti menyebarkan dakyah bertentangan dengan Islam.
Lebih mengejutkan, ustaz selebriti tersebut didakwa banyak menyebarkan cerita dan hadis palsu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah Dakwa ‘Ustaz Selebriti’ Kerap Merepek & Baca Hadis Palsu – “Ditegur Tetap Tak Berubah”
Pautan artikel penuh JMWP:
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/5925-irsyad-al-hadith-siri-ke-597-status-hadis-riwayat-cinta-pertama-rasulullah-saw
Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
