Pelakon, Farid Kamil tampil memberi pesanan kepada kedua-dua cahaya matanya, Muhammad dan Aurora untuk berpegang teguh kepada agama.
Menerusi temubual bersama podcast Sembang Kaki Lima, Farid meminta anak-anaknya itu untuk tidak meninggalkan solat.
“Baba nak cakap dekat Muhammad dan Aurora..baba sayang anak-anak baba.
Jangan tinggal sembahyang, ingat sembahyang selalu.
“Jalani kehidupan kalian dengan penuh ilmu agama di dada, barulah kalian berjalan dengan selamat dalam hidup dengan penuh fana,” katanya.
Dalam pada itu, aktor filem Anwar: The Untold Story ini mengakui rela melakukan apa sahaja demi keluarga tercinta.
“Saya sayangkan isteri dan anak-anak sampai sekarang. Saya sanggup buat apa sahaja demi memenangi hati mereka. Itulah maksud keluarga bagi saya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Farid memaklumkan konflik hubungan antara mereka berdua hanya disebabkan oleh perselisihan faham kecil, yang dianggap satu kebiasaan buat pasangan suami isteri lain.
Isnin lalu, Diana mengejutkan ramai apabila menyatakan hasratnya mahu bercerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran dimuat naik di Instagram.
Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos 2023.
Mereka bagaimanapun sah rujuk semula pada 31 Ogos 2023 ketika masih dalam idah.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.