“Ini kali pertama kami dapat nombor satu”, demikian respons anggota kumpulan Insomniacks, Iskandar ketika dimaklumkan mengenai pencapaian terbaik mereka sepanjang karier seni apabila dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim sepanjang tahun 2025.
Selaku pemain bass kumpulan itu, Iskandar berkata, kejayaan itu sebagai sesuatu yang tidak disangka-sangka memandangkan sebelum ini Insomniacks hanya berada dalam kelompok tiga atau lima teratas sahaja.
“Agak mengejutkan tapi kami bersyukur dan gembira.
“Ini memang kali pertama kami berada di nombor satu. Sebelum ini, kami berada di top tiga atau top lima.
“Tujuan kami adalah untuk terus berkembang setiap tahun, dan pencapaian ini memang menakjubkan,” katanya.

Tambah Daniel pula, Insomniacks kini memberi fokus sepenuhnya kepada perancangan serta projek baharu bagi tahun 2026 sekali gus berharap sokongan peminat terus menjadi kekuatan utama mereka.
“Alhamdulillah. Orang ramai suka lagu kami. Setakat ini, karya kami tidak terus meletup, tetapi ia berkembang secara perlahan-lahan.
“Tahun 2026, kami sedang fokus pada projek kami. Semoga kami dapat teruskan kerjaya ini dan peminat menjadi kekuatan kami,” luahnya.
Iskandar dan Danial berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original, Sesaat Lebih yang berlangsung di 1 Utama, Petaling Jaya, pada Rabu.
Mengulas lanjut, selaku anggota kumpulan Insomniack, mereka tidak menolak kemungkinan bahawa lagu-lagu mereka mempunyai jangka hayat panjang untuk benar-benar melekat di hati pendengar.
“Apabila pendengar melalui pengalaman hidup sendiri dan mengaitkannya dengan lagu kami, dari situ lagu itu jadi lebih bermakna dan berkembang.
“Saya percaya lima tahun akan datang, orang masih dengar lagu kami. Lagu-lagu kami perlukan masa, perlu didengar beberapa kali sebelum orang benar-benar menyukainya,” jelasnya.
Jaga hubungan baik dengan peminat
Dalam pada itu, Iskandar menegaskan Insomniacks akan terus mengekalkan hubungan rapat dengan peminat yang disifatkan sebagai tunjang kekuatan mereka sejak awal.
“Kami anggap peminat sebagai kawan. Kami banyak berinteraksi, berbual dalam group Telegram dan berjumpa ketika persembahan.
“Kami tidak terlalu aktif buat hantaran, tetapi lebih kepada komunikasi dua hala,”ujarnya.
Terdahulu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Distrim, manakala Insomniacks dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim 2025.