Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Ismail Izzani Sedang Rapat Dengan Aktres Indonesia

today21 March 2025

Background

Penyanyi Ismail Izzani secara terbuka mengakui bahawa dirinya kini sedang dalam proses mengenali hati budi seorang wanita yang juga merupakan artis dari Indonesia, Gabriella Ekaputri.

Ismail, atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, menjelaskan bahawa dia dan Gabriella, 24, berkawan baik kerana mereka saling memahami serta bergerak dalam industri hiburan yang sama.

Menurutnya, keserasian itu membuatkan mereka dapat memberi sokongan terhadap perjalanan kerjaya masing-masing.

“Kami bukanlah pasangan kekasih, sebaliknya masih berada dalam fasa mengenali satu sama lain. Masing-masing sibuk dengan kerjaya seni.

“Gabriella di Indonesia, manakala saya di Malaysia. Dia juga aktif dalam bidang lakonan serta muzik. Oleh itu, kami sekadar memberi dorongan antara satu sama lain.

“Mungkin kerana dia juga dalam industri hiburan, dia memahami cara kerja saya jadi saya selesa berkawan dengannya,” ujarnya.

Ismail berkata demikian ini ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa bersama anak yatim yang dianjurkan oleh Universal Music Malaysia pada malam Rabu.

Dalam pada itu, Ismail turut mendedahkan bahawa perkenalan mereka bermula di media sosial hampir setahun lalu, namun sehingga kini belum berkesempatan untuk bersua muka.

Pemilik lagu Bidadari itu juga tidak menyembunyikan kemesraan terjalin antara mereka, malah secara terbuka sering berbalas komen di Instagram (IG).

“Kami sudah lama mengenali satu sama lain melalui media sosial, hampir setahun. Nak kata kami menjalinkan hubungan secara terbuka tidak juga.

“Kami selesa berkomunikasi seperti biasa. Kadang-kadang, kami saling berbalas komen di IG atau memuat naik hantaran di IG story, itu sahaja.

“Setakat ini, hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya sendiri belum sempat bertemu dengannya. Jika ada rezeki, mungkin dia akan ke Malaysia atau saya yang akan ke Indonesia,” katanya.

Ismail yang sering dikaitkan dengan gosip percintaan juga menegaskan bahawa dia tidak merasa terbeban apabila berdepan dengan soalan berkaitan perkara itu.

Sebagai seorang selebriti, dia sedar bahawa kehidupan peribadi dan kerjaya seni perlu diurus dengan baik.

“Saya tidak pernah rasa terganggu dengan gosip percintaan. Sejak mula bergelar artis, saya sudah bersedia untuk menghadapi situasi ini.

“Sebagai penyanyi atau pelakon, soalan mengenai hubungan peribadi memang tidak dapat dielakkan.

“Dalam tempoh dua tahun saya menyepi dari industri, saya belajar untuk lebih bijak dalam mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya seni,” jelasnya.

Written by: Salma