Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Isteri Azmi Caliph Busker Masih Terkesan Dengan Pemergian Anak

today25 July 2022

Background

Penyanyi Azmi Saat, 35, enggan membuka topik mengenai usaha mendapatkan anak kepada isterinya, Nazira Muhammad, 36, yang masih terkesan dengan pemergian anak sulung mereka tahun lalu.

Vokalis kumpulan Caliph Busker ini tidak mahu emosi isterinya terganggu dan menanti waktu yang tepat untuk bercakap mengenai perkara terbabit.

“Awal tahun ini, saya ada rezeki lebih. Saya ada cakap nak buat rawatan kesuburan atau buat pemeriksaan doktor kerana kami ada peluang terbabit.

“Jika isteri saya tak pernah hamil, saya macam tak kisah sangat tapi memandangkan dia pernah mengandungkan dan melahirkan anak sulung kami, peluang nak buat rawatan itu ada dan bila ada rezeki, isu mengenai kos saya letak tepi dan tidak menjadi masalah.

“Rupa-rupanya, isteri saya masih belum bersedia dan saya terus mahu lupakan hasrat terbabit. Kami usaha cara normal dan jika ada rezeki nanti, insya-Allah.

“Kalau boleh naklah anak lagi cuma belum bersedia. Biar dia cakap kerana saya yakin bila sudah sedia nanti, dia akan buka perbualan itu sendiri,” katanya.

Azmi ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Permataku di Indigital Music, Damansara Perdana pada Jumaat.

Bangkit daripada segala kesedihan, Azmi kini tampil dengan single ciptaan Ajai dan liriknya pula hasil nukilan Fedtri Yahya.

“Sebenarnya lagu Permataku ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi. Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.

“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami ada berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya. Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.

“Apa-apa pun lagu in bukanlah berkisahkan tentang kehilangan anak sahaja. Apa-apa keadaan pun kita boleh kaitkan berdasarkan pemahaman masing-masing,” jelas Azmi.

Written by: Salma


Previous post