Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Isu Babitkan 2 Negara, Alyph Akui Kecewa

today15 May 2024

Background

Penyanyi rap, Alyph meluahkan rasa kecewa apabila masih ada segelintir individu yang memainkan sentimen kenegaraan membabitkan Malaysia dan negara kelahirannya, Singapura.

Bercakap kepada XTRA, Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, 33, berkata, dia sudah menganggap Malaysia seperti negaranya sendiri, malah karya dihasilkan terbuka untuk didengari oleh masyarakat dari pelbagai negara.

β€œMungkin pertama kali saya datang sini saya rasa sebagai orang luar. Tapi masa itu saya belasan tahun dan ramai kawan di sini. Saya pernah menumpang di rumah keluarga mereka, mereka juga datang ke Singapura dan duduk dengan saya.

β€œLama-kelamaan saya tak rasa seperti berada ni negara luar. Tahun ini sudah 2024, saya ingat kita semua sudah maju dan tak ada konsep ini lagi (sentimen dua negara), tapi nampaknya masih ada yang hendak membangkitkan sentimen ini lagi.

β€œPendirian saya adalah muzik saya tiada pasport dan bukan warganegara mana-mana. Jadi apa-apa yang terjadi kepada orang yang bukan keluarga saya, bukan hal saya,” katanya kepada pemberita.

Alyph ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Dari Jauh di pejabat Universal Music Malaysia pada Selasa.

Dalam pada itu, pelantun lagu hits Swipe itu menambah, setiap orang perlu menjaga nama baik diri dan keluarga sebelum bercakap mengenai isu kenegaraan.

β€œKita kena jaga diri dengan baik, saya fikir hendak jaga nama negara itu perlu bermula dengan diri sendiri dulu. Pastikan mak ayah kita baik-baik sahaja dan tak ada pergaduhan dengan orang lain.

β€œBeban itu tak perlu kita angkut, kita pastikan diri kita terjaga dengan sebaik mungkin,” katanya.

Alyph turut mengakui dia berasa takut menggunakan media sosial kerana kebanyakan pengguna tidak menghiraukan sensitiviti orang lain.

β€œSaya melihat sosial media ketika ini sangat seram, saya macam takut kepada orang. Bukanlah takut sampai saya menyorok, tapi saya susah hendak percaya orang terutama kalau namoak komen-komen negatif.

β€œKalau itu pilihan kalian, maka itu pendapat kalian. Pucuk pangkalnya, ada pelbagai jenis orang dalam dunia ini. Jadi, penat hendak fikirkan masalah dan memahami situasi mereka pula.

β€œSaya terima yang ada macam-macam manusia dalam dunia ini,” tutupnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai isu yang membabitkan dua negara antara Malaysia dan Singapura susulan kontroversi melibatkan aktor kontroversi, Aliff Aziz.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Written by: Salma