Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Isu Hutang: Shahir Enggan Layan Provokasi, Sibuk Buat Persiapan Kahwin

today1 September 2022

Background

Menanti dengan penuh debaran sebelum bergelar suami Jumaat ini, penyanyi Shahir Zawawi tampil menjelaskan kontroversi hutang yang terpalit dengannya.

Memetik laporan Kosmo, Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi, 34, memberitahu tuntutan hutang tersebut tidak pernah dibangkitkan dan dibincangkan sebelum ini.

β€œSejujurnya saya enggan melayan provokasi begini terutama ketika sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan, tambahan pula isu tersebut dikatakan berlaku ketika saya dalam program Akademi Fantasia (AF) Megastar lima tahun lalu.

β€œSaya menyertai program berkenaan menerusi jemputan stesen televisyen itu sendiri dan dia yang datang kepada saya. Itu pun hanya setakat minggu ketiga disebabkan hal yang tak perlu saya dedahkan.

β€œJadi apabila individu itu kata saya berhutang, bagi saya terma yang digunakan itu sendiri sudah salah, sebaliknya berkaitan tuntutan terhadap urusan kerja yang tidak dibincangkan, diperincikan mahu pun diputuskan bersama.

β€œAlih-alih individu itu buat β€˜claim’ sebanyak RM4,000,” katanya.

Tambah Shahir, tiada sebarang perkara yang dia sembunyikan apatah lagi cuba melarikan diri.

β€œKalau betul saya berhutang sampai RM4,000 kenapa baru sekarang diuar-uarkan, bukan lima tahun dulu atau sewaktu saya meraih kemenangan dalam program stesen Al Hijrah tahun lalu?

β€œSelepas itu ada pula individu lain pula mendakwa kononnya saya juga mempunyai masalah dengan syarikat rakaman. Apa tujuan sebarkan cerita buruk sebegitu, tidakkah itu juga satu tuduhan?

β€œSememangnya, kalau boleh saya tak mahu layan perkara sebegini sebab tak nampak di mana asasnya dan orang luar tak tahu situasi sebenar.

β€œSaya pula bukan jenis suka bercakap pasal orang. Lebih baik saya fokus kepada kerjaya dan persiapan urusan pernikahan serta resepsi yang tinggal sehari saja lagi,” luahnya.

Individu yang membuat komen tersebut merupakan pekerja industri hiburan dan mendakwa telah mengalami kerugian yang gagal dilunaskan penyanyi itu.

Kemudian, komen tersebut juga mendapat sokongan daripada individu lain yang mendakwa perkara yang sama turut terjadi kepada beberapa syarikat pengurusan artis lain.

β€œBayar hutang dulu baru nikah. Aku yang hidup ni pun dia buat senyap sahaja. AF Megastar aku rugi dekat RM4,000. Duit aku sendiri tu,” komen individu berkenaan.

Sementara itu, Shahir berkongsi tentang pernikahan bersama Jaskin Jaludin pada 2 September ini dan kesibukkannya itu mengurangkan debaran untuk menanti hari bergelar suami.

β€œMemanglah ada rasa berdebar nak jadi suami, tetapi dalam beberapa hari ini saya sibuk menguruskan hal perkahwinan. Jadi kuranglah sikit perasaan takut itu. Lebih memikirkan soal persiapan majlis.

β€œPersiapan diri sendiri pun tidaklah 100 peratus kerana tugas sebagai suami ini adalah satu proses yang akan berjalan terus. Banyak yang akan saya tempuh dan belajar selepas berkahwin nanti,” ujarnya.

Sumber: Kosmo & mStar

Written by: Aqilah


Previous post