Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Isu Idah, Da’i Annas Minta Adira Suhaimi Rujuk Jabatan Agama Isu Idah

today27 May 2024

Background

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi Adira Suhaimi mengenai isu idah, pendakwah bebas Da’i Annas tampil memberikan pendapatnya berkaitan hal tersebut.

Katanya memetik laporan mStar, ketika dalam tempoh idah ada beberapa kelonggaran akan diberikan kepada wanita jika wanita tersebut terpaksa menguruskan keluarga tanpa bantuan dari waris.

Dan, wanita ini diberikan kebenaran untuk keluar pada kadar tertentu mengikut keperluan keluarga.

“Kalau keluar rumah ketika dalam tempoh idah ada beberapa kelonggaran diberikan. Misalnya, seorang wanita itu terpaksa menguruskan keluarga tanpa bantuan waris.

“Mereka akan diberikan kebenaran untuk keluar mengikut kadar tertentu. Kalau keluar bekerja, mencari rezeki kena tengok keperluan untuk keluarga.

“Jika berbalik pada hukum, tidak dibenarkan. Idah ini dikira cerai hidup atau mati perlu ikut peraturan yang digariskan Islam,” katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN:Dituduh Tak Hormat Tempoh Idah, Adira Suhaimi Tampil Beri Respons : “Anak 4 Orang Tu Siapa Nak Bagi Makan?”

Bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dek kerana tidak mengetahui situasi sebenar Adira, Annas menasihatkan agar penyanyi itu merujuk kepada pihak Jabatan Agama Islam.

“Saya tidak faham konteks sebenar penyanyi itu keluar untuk tujuan apa. Jadi saya rasa adalah lebih baik untuk rujuk ke jabatan agama,” jelasnya.

Terdahulu, Adira tampil mempertahankan diri apabila terdapat segelintir warganet mempersoalkan mengenai tempoh idahnya memandangkan dia baru sahaja bercerai.

Menurutnya, dia bukanlah balu yang bercerai mati dan disebabkan itu dia perlu keluar bekerja untuk mencari pendapatan bagi menyara empat orang anaknya.

Sekadar info, Adira sah bercerai dengan Datuk Adnan Abu pada 23 April lalu, selain bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah daripada bekas suaminya memandangkan Datuk Red pada ketika itu berdepan dengan masalah kewangan.

Written by: Aqilah


Previous post