Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Isu Ludah, Pengurus Hujan Dedah Perkara Sebenar – “Mulut Noh Kebas Kena Renjatan”

today4 October 2022

Background

Sebelum ini tular sebuah rakaman yang memaparkan aksi Noh Salleh yang meludah di pentas ketika membuat persembahan di Konsert Hausboom Music 2022 sehingga mendapat kecaman hebat warganet.

Terbaharu, tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut, pengurus Kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, berkata ketika itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang didakwa menjejaskan persembahan Noh di pentas.

“Noh sepatutnya tampil dengan gitar. Namun, disebabkan masalah teknikal, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

“Pada masa sama, mikrofon dipegang mengalami masalah. Ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, Noh terkena sedikit renjatan elektrik.

“Ini terhasil kerana wajahnya dibasahi peluh dan air menyebabkan mulutnya kebas. Bagi mengalih rasa sakit, Noh secara spontan meludah di atas pentas,” jelas Ariffin.

Pihaknya juga menolak dakwaan yang mengatakan Noh meludah ke arah penonton dan memohon maaf kerana perkara tersebut tidak disengajakan.

“Dakwaan konon Noh meludah ke arah penonton tidak benar. Sebaliknya, dia meludah atas pentas.

“Jarak antara pentas dan penonton juga kerana dipisahkan besi penghadang, jadi tidak mungkin (ludah) terkena penonton.

“Jika Noh ludah ke atas, mungkin tempias air liur kena kepada penonton. Sebab itu, Noh tunduk.

“Namun, jika ada yang terkena tempias ludah Noh, kami mohon maaf kerana perkara itu tidak disengajakan,” jelasnya.

Ariffin juga menyifatkan suasana pada konsert itu panas dengan kehadiran penonton yang luar biasa sehingga menjejaskan imej Noh.

“Sebelum naik ke pentas, kita sudah buat (kemaskan) rambut Noh. Tetapi dengan 13,000 penonton dan dewan yang panas seperti sauna dan berlengas, tidak mungkin Noh dapat kekalkan imej itu.

“Biar apapun, kami berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan sentiasa ingin tahu perkembangan Noh serta mendoakan kesejahteraannya.

“Mungkin Noh tampak serabut kerana kami sedang membuat persiapan Konsert Hujan Rumah Kita pada 5 November depan,” katanya.

Terdahulu, vokalis Kumpulan Hujan itu juga pernah menimbulkan kekecohan apabila tampil dengan sebatang rokok di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW).

Sumber: Berita Harian

Written by: Aqilah


Previous post