Dua pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok, mengakui berdebar menantikan reaksi masyarakat terhadap single raya pertama terbitan mereka, Si Gadis Lebaran.
Lagu yang dinyanyikan oleh Aliff Azman ini merupakan ciptaan bersama Tya Amida dan Farel Mikhail, sekali gus menjadi percubaan berani bagi FM Group dalam dunia muzik.
Menurut Farel, yang juga Pengarah FM Group, keputusan untuk menerbitkan lagu ini didorong oleh keberanian usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri dalam menceburi bidang nyanyian.
“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi designer tu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen katanya.
“Bagi saya dan Jonathan, tak salah kami nak mencuba sesuatu yang baharu. Lagi pun fesyen dan dunia seni saling berkaitan. Belum cuba belum tahu.
“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.
“Beliau adalah inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang beliau tonjolkan dalam media sosial sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahu pun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko.
“Berani mencuba dan tahu apa yang dia mahukan, menjadikan beliau berada di tahap sekarang. Jadi, kami terinspirasi untuk terlibat sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit lagu Si Gadis Lebaran.
“Lagi pun, takkan Aliff Syukri je nak ada lagu raya. Kami pun nak juga.
“Selain itu, antara tujuan kami buat lagu raya ini bukanlah sekadar nak memeriahkan sambutan Syawal dan industri muzik, tapi juga nak berkongsi bakat dalam bidang penulisan lagu,” katanya.
Farel berkongsi perkara ini ketika ditemui dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion yang berlangsung di Grandmama’s, Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Acara itu turut dihadiri oleh Ketua Pemasaran dan Jualan Grandmama’s, Nancy Tan bersama Chef Raja Kamarzaman.
Si Gadis Lebaran: Mengangkat Keanggunan Wanita Melayu
Lagu Si Gadis Lebaran mengisahkan tentang seorang wanita yang tampil anggun dan menawan pada Hari Raya, terutama apabila mengenakan pakaian tradisional Melayu.
Dalam pada itu, Farel turut mengakui bahawa penerbitan lagu ini merupakan langkah awal untuknya lebih serius dalam bidang muzik.
“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.
“Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.
“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,”* katanya.
Menurut Farel, percubaannya sebagai pencipta lagu dan penulis lirik adalah langkah awal untuknya terus berkembang dalam bidang ini.
“Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.
“Saya sebenarnya serius dalam bidang ini, selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL). Insya Allah, kalau ada rezeki, kita tak mampu tolak.
“Namun, masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Kena buat banyak research, hadiri kelas yang sesuai dan mungkin dalami seni muzik. Semua itu perlukan proses,” katanya.
Memartabatkan Busana Melayu di Beautiful Malaysia
Dalam acara Beautiful Malaysia, Farel dan Jonathan turut menampilkan 13 jenis busana wanita Melayu yang diinspirasikan daripada pelbagai negeri di Malaysia.
“13 jenis rekaan busana wanita Melayu di Malaysia yang kami bawakan bukan sahaja sesuai dipakai ketika hari raya, malah pada hari lain juga. Boleh dikatakan juga 13 rekaan itu mewakili setiap negeri di Malaysia.
“Rekaan bermotifkan songket serta batik ini berinspirasikan wanita Melayu misalnya Puteri Perak untuk negeri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), Kurung Riau (Johor) dan banyak lagi.
“Untuk 13 rekaan ini, saya turut bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah dalam memenuhi tema tradisional wanita Melayu.
“Sebenarnya cantik dan unik sekali memakai baju raya tema ini. Warisan turun temurun ini harus diteruskan generasi hari ini. Siapa lagi nak martabatkan imej busana tradisional kita, kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.
Farel percaya bahawa Beautiful Malaysia adalah platform yang tepat untuk menonjolkan keunikan budaya Malaysia dalam fesyen.
“Fesyen, sama seperti makanan dan seni, adalah alat yang kuat untuk memelihara dan mengembangkan identiti budaya kita agar dapat kekal relevan dan meriah untuk generasi akan datang.
“Secara tidak langsung, kami juga menyahut usaha kerajaan memperkasa, memelihara dan memulihara sejarah, budaya dan warisan negara agar kita dapat mencintai budaya yang menjadi lambang tradisi dan pelengkap kepada identiti serta tamadun masyarakat berbilang etnik,” tambahnya.
Acara Beautiful Malaysia turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sebagai penganjur festival fesyen Precious Of Malaysia, FM Group juga menerbitkan buku Pesona Kebaya yang menampilkan keunikan busana tradisional Malaysia. Menariknya, buku ini telah dilancarkan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur tahun lalu.