Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Jamal Abdillah Hadiahkan ‘Rindu Di Hari Lebaran’ Buat Peminat

today11 April 2023

Background

Mungkin ramai yang sudah sinonim mendengar lagu raya dari Raja Pop terkenal, Datuk Jamal Abdillah berjudul Salam Aidilfitri yang mula diterbitkan sekitar tahun 1989 dan juga  lagu-lagu raya gandingannya bersama penyanyi popular tanah air sebelum ini.

Namun, siapa sangka, Datuk Jamal sekali lagi tampil dengan lagu raya terbaharunya berjudul Rindu Di Hari Lebaran ciptaan komposer terkenal S Atan dan Siso Kopratasa sebagai hadiah buat peminatnya.

Menurut Datuk Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Haji Mohd Ali, 63, lagu raya kali ini menceritakan tentang kerinduan anak rantau kepada rakan-rakannya yang pernah sekampung suatu ketika dahulu.

Malah, dia juga mengaku proses rakaman untuk lagu tersebut hanya mengambil masa yang sangat singkat iaitu hanya satu jam sahaja.

“Lagu Assalamualaikum adalah ciptaan dari S Atan dan kali ini dia juga. Cerita dia macam ni, dia (S Atan) ada call offer nak buat lagu raya lagi tak?So, saya pun berbesar hati terimalah pelawaan beliau dan menghubungi pihak FMC maka jadilah lagu ni.

“S Atan kalau lagu raya kat Malaysia ni, semua lagu dia. Azlina Aziz ke, DJ Dave ke siapa juga mesti lagu dia. Jadi saya terbuka hati kenapa tidak saya buat lagi satu lagu hari raya sebagai hadiah buat peminat,” katanya.

Datuk Jamal mengaku sedikit gementar dan takut jika berdepan dengan komposer, S Atan.

Jamal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Pelancaran Lagu Raya anjuran FMC di Hotel Tenera, Bangi baru-baru ini.

Dalam pada itu, S Atan selaku komposer dan penulis lirik memaklumkan, muzik untuk lagu Rindu Di Hari Lebaran ini dihasilkan terlebih dahulu dan hanya memakan masa dua hari untuk disiapkan sebelum proses rakaman lagu dijalankan.

Malah, selaku individu yang memainkan peranan besar dalam menghasilkan lagu-lagu raya yang sehingga kini masih malar segar, S Atan menegaskan, hari raya cukup sinonim dengan lagu-lagu yang mempunyai simbolik termasuklah kenangan dan berunsur kemelayuan.

“Kalau tengok, lagu lama mesti ada unsur kemelayuan dia berbanding sekarang ini, simple macam lagu raya Datuk Sheila Majid (Hari Mulia) walaupun jazz tapi ada kemelayuan dia.

“Itu pasal, lagu raya mesti ada unsur kemelayuan. Walaupun perlu ada kemajuan dalam lagu raya tapi saya tegaskan unsur itu perlu ada.

“Saya nasihatkan tidak perlu ada unsur kebaratan, tak payah. Kalau boleh buat lagu Melayu buat lah, apa cara pun tak apa yang penting ia lagu melayu dan unsur kemelayuan,” jelasnya.

Terdahulu, selain Datuk Jamal Abdillah, Afieq Shazwan, Tajul, Tuah Adzmi, Muna Shahirah, Wani Syaz dan Wany Hasrita juga tampil dengan lagu raya terbaharu mereka untuk tahun ini.

Bahkan lagu-lagu tersebut juga kini sudah boleh didengar menerusi platform Youtube rasmi FMC.

 

Written by: Salma