Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

“Jika Gagal Bawa Watak Guru, Rosak Karier & Nama Saya” – Rosyam Nor

today24 May 2024

Background

Pelakon tersohor, Datuk Rosyam Nor mengakui mencabar untuk menjayakan watak sebagai Cikgu Sunan dalam filem ‘Memoir Seorang Guru’.

Meskipun sudah lebih tiga dekad dalam industri seni, Rosyam meluahkan rasa bimbang memikirkan persepsi ramai terutamanya apabila watak tersebut diangkat daripada novel popular dalam kalangan mereka bergelar pendidik.

“Sebenarnya filem ini menakutkan sebab risau boleh hilangkan nama saya tetapi mampu juga julang semua nama saya.

“Nak menghidupkan watak Sunan ni pun mencabar sebab filem ini diadaptasi daripada novel yang cukup terkenal yang juga dijadikan bahan pembelajaran di sekolah.

“Semua guru di Malaysia tahu tentang novel itu, jadi kalau saya gagal jayakan watak ini dengan baik, karier saya sebagai pelakon memang habis.

“Nanti orang cakap Rosyam Nor setakat berlakon filem aksi bolehlah. Kalau itu terjadi, sudah gagal buat saya,” ujarnya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui di malam gala filem Memoir Seorang Guru pada Isnin lalu di pusat
GSC Midvalley Mall.

Meskipun begitu, Rosyam meluahkan rasa syukur dan gangga kerana diberi kepercayaan untuk untuk membawa watak yang mulia itu.

“Alhamdulillah saya mendapat naskhah dan watak yang baik. Sudah lama saya menunggu karakter yang baik seperti ini.

“Bagi saya setiap babak dalam filem ini mencabar saya kerana perlu mengekalkan graf lakonan disebabkan membawa watak dalam dua era berbeza.

“Saya bangga kerana diberi kepercayaan untuk memegang watak seorang guru dalam filem ini.

“Saya rasa ramai pelakon di Malaysia yang akan cemburu kerana tidak dapat memegang watak Cikgu Sunan ini,” katanya lagi.

Memoir Seorang Guru bukan sekadar naskhah biasa, filem ini merupakan adaptasi daripada novel hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Abdullan yang juga bekas seorang guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A 1998 mewakili Malaysia.

Filem arahan Kyoll Hamzah ini mengisahkan tentang seorang guru bandar iaitu Cikgu Sunan yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman dan ditugaskan menjadi guru di kelas paling corot.

Selain Rosyam, Memoir Seorang Guru turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.

Filem tersebut bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Mei ini.

Written by: Aqilah


Previous post