Meskipun sudah empat bulan berehat dari menerima sebarang tawaran lakonan, pelakon Johan As’ari mengaku dia seorang yang memilih naskhah lakonan dan pengarah yang terlibat dalam sesebuah projek penggambaran.
Kata Johan ketika ditemui XTRA, isu itu bukan perkara baru baginya memandangkan ada bebeapa karakter yang ditawarkan tidak sesuai dengannya.
“Memilih ya memang dari dulu lagi begitu, tapi kita kena terima kalau kerja kita freelance dan kita tak boleh nak jangkakan kerja yang datang dekat kita.
“Satu watak ni tak semua yang kita fit, macam saya ada watak yang tertentu yang sesuai dengan saya dan ada kadang-kadang sampai tak cukup tangan. Tapi ada juga yang Allah nak saya rehat.
“So, macam sekarang ni dah empat ke lima bulan saya tak masuk set penggambaran. Agak kekok sebenarnya, tapi saya punya kaedah setiap kali dapat tawaran saya akan tanya siapa pengarah dia. Sebab kalau pengarah bagus, karya tu akan jadi bagus. So, skrip saya selektif, pengarah juga sebenarnya saya selektif,” ulasnya.

Dalam pada itu, Johan, 38, bersyukur apabila drama 13 episod yang bakal diterbitkan di TV3 sempena kempen Ramadan Raya ini ditawarkan kepadanya.
Malah, sebagai seorang yang sentiasa menjiwai watak yang diberikan, dia mahu drama ini menyentuh hati peminat drama tempatan.
“Dalam cerita ni saya merupakan seorang ayah yang ada tiga orang anak, berjaya dalam kehidupan namun secara tiba-tiba semuanya musnah dan satu persatu pergi dalam hidup saya. Jadi nak menjiwai watak ni memang susah, lagipun saya ni orangnya single lagi jadi tak ada pengalaman nak bawa watak seorang ayah.
“Jadi saya rasa itulah antaran cabaran dia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah dan suami,”katanya.
Ketika diminta berkongsi mengenai bagaimana dia menjiwai watak dalam setiap naskhah yang diberikan, Johan bagaimanapun menjelaskan dia merupakan seorang yang suka berimaginasi dan membuat penyelidikan.
“Saya seorang pelakon yang suka berimaginasi macam baca novel dan saya akan ikut arus perasaan tu bersama dengan skrip yang diberikan. Sebab sebagai seorang pelakon, yang nak disampaikan adalah rasa yang benar dan tak boleh dibuat-buat.
“Selain itu, perlu banyak research dan banyak menonton drama yang seakan-akan dan banyak berimaginasi itulah yang bantu saya menjiwai watak,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Johan yang semakin mendapat perhatian menerusi platform TikTok ini menjelaskan, dia menggunakan platform berkenaan sebagai salah satu cara untuknya berkomunikasi dengan peminat.
“Bila kita empat bulan tak berlakon ada banyak masa saya pun gunakan masa yang ada dan gunakan tiktok untuk berkomunikasi dengan peminat-peminat dan TikTok live ni saya guna untuk mengaji. Saya selalu buat konten mengaji sebab ada banyak masa sementara nak masuk set
“Alhamdulillah ramai yang support. Sekali live ada 90,000 orang dan yang duduk sekali mengaji adalah dalam 1000 ke 2000 lebih orang,” ujarnya.