Perdana menteri mengulangi keyakinannya kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal lima tahun.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta pembangkang membuktikan jumlah sokongan yang didakwa diperoleh mereka bagi menubuhkan kerajaan baharu pada sesi Parlimen akan datang.
“Kalau dia (PN) ada (cukup sokongan) tunggu masa Parlimen nanti, bawalah SD (akuan berkanun). Usulkan di Parlimen tiada masalah.
“Ini tiap-tiap minggu mengigau,” katanya mengulas dakwaan pembangkang diketuai Perikatan Nasional (PN) bahawa mereka mempunyai 126 sokongan Ahli Parlimen.
Beliau berkata demikian selepas berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-75 Bulan Sabit Merah (BSMM) dan perasmian ibu pejabat kebangsaan organisasi itu.
Anwar yang juga presiden PKR mengulangi keyakinannya kerajaan perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal lima tahun.
“Saya sangat yakin,” katanya.