Site icon Hot FM

“Kami Masih Berkawan Demi Anak-Anak” – Jaclyn Victor Bahagia Bekas Suami Kahwin Baharu

Penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor meluahkan rasa bahagia apabila bekas suaminya iaitu Shawn Rivera sudah bertemu jodoh baharu.

Bercakap kepada XTRA, Jaclyn atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor berkata, bekas suaminya yang juga anggota kumpulan muzik R&B Az Yet itu telah mendirikan rumah tangga.

Pelantun lagu Ikut Rentakku itu turut memaklumkan dia mengetahui tentang status perkahwinan bekas suaminya menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG).

“Saya tak tahu pun, dia hanya maklumkan dekat IG. Dia pun hanya umumkan di platform itu sahaja.

“Sebelum ini dia ada berkata, dia tidak mahu berkahwin semula dan akhirnya dia bertemu jodoh.

“Saya sangat gembira dan saya ucapkan tahniah kepada dia di IG. Saya mendoakan dia dan isteri bahagia selama-lamanya,” katanya kepada pemberita.

Jaclyn ditemui pada sidang media First Solo Concert Jaclyn Victor yang berlangsung di Madam Lee Nyonya, Hotel Palm Garden Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia dan Shawn kini masih berhubungan baik demi anak-anak.

Malah, Jaclyn turut memaklumkan Shawn juga sempat bersua muka dengan anak-anak mereka ketika berada di Malaysia sekitar Mei lalu.

“Kami masih berkawan dan mencuba untuk jadi yang terbaik untuk anak-anak.
Dia tak tinggal di sini, tapi dia sering telefon dan buat panggilan video dengan mereka.

“Dia baru balik awal bulan Mei lalu dan sempat jumpa anak-anak,” ujarnya.

Untuk rekod, Jaclyn dan Shawn mendirikan rumah tangga pada 19 Julai 2014 namun berpisah selepas lima tahun bersama.

Perkahwinan mereka itu diserikan dengan dua orang cahaya mata iaitu Jonah Joshiah Rivera, 9, dan Molly Marguerite Rivera, 7.

Dalam perkembangan lain, Jaclyn bakal mengadakan konsert solo pertamanya pada 12 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Exit mobile version