Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

“Keadilan Sepatutnya Lindungi Mereka Yang Tak Mampu Lindungi Diri Sendiri, Tapi…” – Ameera Khan Bersuara Isu Zara Qairina

today22 August 2025

Background

Pempengaruh popular, Ameera Khan tampil bersuara mengenai hukuman yang diberikan kepada pembuli susulan insiden yang menimpa pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha iaitu Zara Qairina.

Menurut Ameera, hukuman yang diberikan kepada golongan pembuli ini terlalu ringan jika dibandingkan dengan kehilangan satu nyawa.

“Ini sangat tidak adil seorang kanak-kanak kehilangan nyawa kerana dibuli, namun hukuman yang diberikan terasa terlalu ringan. Sangat ringan.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, ia membuatkan kita tertanya-tanya apa yang sedang terjadi dengan negara kita.

“Keadilan sepatutnya melindungi mereka yang tidak mampu melindungi diri sendiri, tetapi sebaliknya ia kelihatan hanya melindungi mereka yang mempunyai kuasa, wang dan pengaruh.

“Ini bukan soal Zara sahaja,  ini tentang setiap anak yang berhak untuk berasa selamat dan dilindungi.

“Kesakitan yang kamu sebabkan akan tetap kembali, kadangkala bukan kepada kamu, tetapi kepada orang yang kamu sayangi,” katanya.

Perkara itu dikongsi Ameera yang juga adik kepada selebriti popular, Noor Neelofa menerusi hantaran di ruangan Instagram Story (IGS) miliknya baru-baru ini.

Terdahulu, berita pemergian Zara Qairina mencuri perhatian masyarakat apabila Allahyarham ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekitar jam 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Dan, pada 31 Julai lalu, polis memaklumkan, telah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian pelajar berkenaan.

Sehingga kini, siasatan berhubung kes tersebut sedang giat dijalankan dan orang masih aktif menjalankan solat hajat dan kempen #JusticeForZara.

Written by: Salma


Previous post