Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Kembali Dengan Single Balada, Shila Amzah Persembahkan Khilaf Asmara

today22 June 2022

Background

Selepas muncul sebagai pemenang pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36), graf seni penaynyi Shila Amzah, 32, kembali memuncak.

Tanpa menunggu lama, Shila melancarkan single Khilaf Asmara yang mana turut dipilih menjadi lagu tema drama Khilaf Asmara yang ditayangkan sepanjang Ramadan lalu di TV3.

Menurut Shila, lagu ciptaan komposer dan penyanyi terkenal Amylea dan diterbitkan oleh 17 Eleven Music itu mempunyai kekuatan dari segi melodi dan lirik.

β€œApa yang membuatkan saya bersetuju untuk bekerjasama sekali lagi dengan Amylea kerana kali ini adalah lagu dan lirik ciptaan daripada Amylea sendiri. Sudah tentu pertama kali mendengar demo lagu ini saya terus jatuh cinta.

β€œKelebihan dan kekuatan lagu ini ia lebih pada melodi, dan juga lirik itu sendiri. Sebab pada ketika saya merakamkan lagu ini, saya pun sedang melalui sesuatu dalam hidup saya, jadi itu membuatkan lagu ini dekat dengan lirik lagu ini dan juga melodi lagu itu sendiri,” katanya.

Menariknya juga, Shila dianggap cukup bertuah apabila lagu nyanyiannya menjadi pilihan untuk lagu tema drama sekali gus disifatkan medium terbaik bagi mempromosikan lagi lagu berkenaan.

β€œBagi saya, tak kisah kerana apabila mendapat projek lagu untuk OST drama ini saya melihatkan pada trend di Korea juga mereka akan ada spesifik lagu untuk setiap drama.

β€œSaya suka akan projek yang bukan sekadar ambil lagu dari tempat lain atau artis lain yang bukan buat spesifik untuk drama dan dijadikan OST. Jadi ini yang saya suka,” katanya.

Sebelum lagu Khilaf Asmara, Shila juga pernah bekerjasama dengan Amylea selaku penulis lirik menerusi lagu Tiada Dirimu.

Tentu saja, menerusi lagu Khilaf Asmara ini peminat turut meletakkan harapan tinggi agar lagu itu dipersembahkan pada pentas AJL.

Mengulas mengenai perkara itu, Shila meletakkan semuanya pada rezeki Allah SWT.

β€œJika ada rezeki ke AJL, semestinya saya nak dan saya harap peminat akan doakan dan terus undi lagu ini di semua corong radio. Saya berharap jika lagu ini tercalon di dalam carta Muzik Muzik, saya pinta untuk peminat dapat mengundi lagu ini,” katanya.

Written by: Salma


Previous post