“Saya tak ada muka yang lawa, tak ada duit yang banyak, tak ada harta yang melimpah tapi, saya ada semangat yang tak akan luntur”.
Demikian respons penyanyi berbakat, Nadeera apabila dia tampil berkongsi tangkap layar pesanan mesej langsung (DM) seorang individu yang melabel dirinya sebagai ‘pengemis’ dek kerana kerap memuat naik hantaran di Instagram bagi mencari penajaan untuk muzik video single terbaharunya, Emas.
Sedar dengan kekurangan yang dimiliki, Nadeera tampil meluahkan rasa hatinya menerusi hantaran di Instagram Story (IGS) miliknya.
“Baca DM macam tu, rasa macam nak kemas bag baju sekarang juga, nak balik mersing.
“Sedih sayu tapi apa boleh buat? Ini yang saya suka, ini yang saya pilih ini yang saya idamkan.
“Saya dah ada dalam industri hiburan 11 tahun, sejak Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua sekitar tahun 2012 sampailah sekarang. Bayangkan masa yang saya sduah korbamkan untuk berada di tahap ini sedangkan, ini bukan megah mana pun.
“Saya masih lagi struggle untuk berlari dan dikenali. Cuma saya anggap pertandingan Big Stage sebagai peluang kedua untuk saya,” katanya.
Ini bukan mengemis tapi…
Meskipun dihina, Nadeera bagaimanapun menjelaskan, dia mempunyai alasan tersendiri untuk mencari rakan kolaborasi yang berpengalaman sekaligus menolak dakwaan kononnya dia berbuat demikian semata-mata mahu ‘mengemis’.
“Saya tak ada muka yang lawa, tak ada duit yang banyak tak ada harta yang melimpah tapi, saya ada semangat yang tak akan luntur untuk terus berjuang.
“Saya bukan siapa-siapajadi saya perlukan kolaborasi dengan mereka yang berpengalaman. Bukan mengemis tetapi mahu belajar sesuatu dan berkongsi ilmu.
“Mengemis adalah satu kata yang melukakakn hati saya. Tapi saya ambil ia sebagai ubat. Ubat yang akan terus menguatkan dan meneruskan perjalanan saya dalam bidang yang dicintai. Untuk mereka yang menyokong saya, terima kasih ikhlas dari hati,” jelasnya.
Terdahulu, nama Nadeera menjadi topik perbualan hangat netizen apabila video nyanyiannya ketika menjadi juara pertandingan nyanyian berjudul Never Enough tular di TikTok.