PETALING JAYA: Kerja membaik pulih gangguan sistem suis di landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menyebabkan perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan sudah selesai.
“Jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan tren akan beroperasi (seperti) normal sebentar lagi.
“Kami memohon maaf atas kesulitan. Terima kasih atas kesabaran anda,” kata Rapid Rail Sdn Bhd dalam catatan Facebooknya.
Rapid Rail dalam catatan terdahulu memaklumkan gangguan itu menyebabkan tren bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di platform kerana ia dipandu secara manual di stesen Kelana Jaya ke Taman Bahagia.