Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Kongsi Momen Bersama Sudirman, Air Mata Liza Aziz Tumpah

today19 September 2023

Background

Penyanyi legenda Liza Aziz gagal menahan air matanya apabila mengenangkan momen-momen bersama penghibur no 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Menjadi antara individu paling akrab dengan Sudirman semasa hayatnya, Liza menyifatkan kenangan persembahan Allahyarham di Konsert Gergasi di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 14 April 1986 sebagai antara memori paling indah dalam hidupnya.

“Konsert di Chow Kit adalah yang paling hebat. Ketika itu, Allahyarham sudah bersedia tetapi pentas belum siap. Kami tertanya ‘macam mana? pentas belum siap’ sedangkan persembahan akan bermula. Dengan secepat kilat, pentas akhirnya dinaikkan.

“Arwah sangat genius. Ketika itu dia menjadi duta pelancongan. Dia mempunyai visi untuk buat konsert berskala besar dan percuma, tapi persoalannya di mana? Chow Kit katanya.

“Selalunya dia akan buat persembahan secara eksklusif, bila terdetik untuk buat konsert itu, kami juga tertanya-tanya, di Chow Kit dengan keadaan trafik yang sesak, ramai orang.

“Ia memang betul-betul di Jalan Chow Kit, orang membanjiri hingga ke Dataran Merdeka. Tiada skrin gergasi dipacakkan. Penonton yang jauh dari pentas, hanya dengar suara arwah menyanyi saja.

“Lebih kurang 15 hingga 20 lagu juga arwah nyanyikan dalam konsert tersebut,” kongsinya yang mula bekerja dengan arwah Sudirman pada 1984 sebagai penyanyi latarnya.

Pelantun lagu Tak Rela ini ditemui pada Konsert A Tribute To Sudirman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang turut menampilkan penyanyi Hazama, Ernie Zakri dan Arish Mikael, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:Β Konsert A Tribute To Sudirman Penuh Nostalgia, Imbau Karya Agung Legenda Muzik Tanah Air

Anak kepada kepada pasangan Allahyarham seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah ini turut menceritakan saat-saat akhir beliau bersama Sudirman sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Saya rasa bertuah dapat bekerjasama dengan arwah, dia sangat berbakat. Dia banyak tunjuk ajar pada kami semua malah tidak lokek dalam memberi idea.

“Dia juga seorang yang merendah diri, saya berasa ralat apabila tidak dapat berjumpa dengan dia. Saya adalah orang terakhir yang menghubungi Allahyarham ketika beliau benar-benar sakit.

“Saya sendiri tidak mengenali suaranya. Tidak macam Sudirman langsung. Beliau berkata, itu akan jadi saat terakhir saya bercakap dengan dia sebab dia benar-benar sedang sakit.

“Selepas dua hari, dia dimasukkan ke hospital. Saya tidak dapat jumpa dia waktu dia menghembuskan nafas terakhir kerana ada show di Brunei. Itu yang membuatkan saya benar-benar ralat,” kongsinya sambil mengesat air mata.

Kongsi adik kepada penyanyi Azlina Aziz ini lagi, banyak momen-momen manis yang diciptanya bersama bintang legenda itu seperti baju bendera yang disarungkan Sudirman adalah hasil tangganya.

“Selama saya bekerja dengan dia, dia mahu hasilkan album dan mahu buka syarikat rakaman sendiri. Dia juga ada beritahu mahu buat album kepada Uji Rashid dan juga kepada saya tapi apakan daya tidak kesampaian.

“Kemudian Baju Bendera Allahyarham yang ada labuci-labuci itu, sayalah yang jahitkan. Saya dengan arwah ibu saya, bergilir-gilir jahitkan buat Sudirman. Dia bangga dapat buat persembahan dengan baju tersebut.

“Setiap kali kami adakan persembahan ‘private’, Abang Sudir (panggilan untuk arwah) akan menjemput saya untuk berduet. Bila persembahan selesai, selalunya lelaki akan mendukung wanita tetapi sebaliknya saya pula mendukung dia. Bayangkan…walaupun dia bertubuh kecil tapi berat juga ya.

“Itulah pengalaman yang saya tak dapat lupakan bersama Arwah. Saya rasa berbangga berada di pentas DFP untuk menjayakan konsert tribute untuk beliau,” kongsinya gembira.

Sudirman mula mencipta nama selepas dinobatkan juara Bintang RTM 1976 sehinggaΒ diberikan jolokan sebagai Penyanyi Peguam, Penyanyi Rakyat dan Elvis Malaysia.

Beliau juga turut dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards pada tahun 1989.

Allahyarham Sudirman menghembuskan nafas terakhir di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992.

Written by: Aqilah


Previous post