
Penyanyi Yuna semalam mengumumkan berita menunda konsert jelajah Eropahnya sekali lagi, dan pengumuman itu dibuat di akaun Instagramnya.
Menurut Yuna, ia keputusan yang sangat sukar, namun terpaksa dibuat, kerana mahu memberi laluan untuk melengkapkan rakaman album terbaharunya yang bakal dilancarkan pada musim panas nanti.
Yuna menjelaskan, dia telah memberikan sepenuh tumpuan pada rakaman album baru itu, dan mahukan segalanya menjadi sempurna sehingga pelancaran nanti.
https://www.instagram.com/p/BvMcKLDH0PT/?utm_source=ig_web_copy_link
Yuna juga tidak sabar untuk memperdengarkan lagu lagu dalam album itu kepada peminat.
Konsert pertama Yuna sepatutnya dijadualkan bermula pada 26 Mac depan di London. Kemudian diikuti dengan Amsterdam, Brussels, Lausanne, dan yang terakhir di Berlin pada 1 April.
Kali pertama konsert jelajah Yuna dirancang diadakan pada lewat 2018, namun turut terpaksa ditunda atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan.
Yuna pernah membuat konsert jelajah Amerika Syarikat menerusi US Nocturnal Tour pada 2014.
Menurutnya, promoter konsert bakal menghubungi peminat yang sudah membeli tiket untuk penjelasan.
Yuna juga berjanji bakal kembali ke Eropah, bersama lagu lagu terbarunya.