Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Konsert Rahmati Melaka Gabungkan Rabbani, Hijjaz & Artis Undangan

today2 December 2024

Background

Di sebalik lambakan konsert artis antarabangsa yang memenuhi kalendar seni hiburan tanah air, Konsert Rahmati Melaka bakal membawakan gabungan dua kumpulan nasyid terkenal Malaysia.

Dianjurkan oleh Affizmusic Entertainment, konsert nasyid itu bakal diadakan pada 13 dan 14 Disember 2024, bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), bermula jam 9.30 malam.

Persembahan ini akan menyaksikan gabungan dua kumpulan nasyid tersohor tanah air, Rabbani dan Hijjaz, yang tetap relevan dan dikenang sebagai antara pelopor irama nasyid di Malaysia.

Walaupun industri muzik tempatan dimeriahkan dengan pelbagai genre, irama nasyid masih mendapat tempat di hati peminat. Lagu-lagu malar segar Rabbani dan Hijjaz terus menjadi siulan ramai, membuktikan permintaan terhadap nasyid tidak pernah surut.

Menurut Affizmusic Entertainment selaku penganjur, konsert ini mendapat sokongan Tourism Melaka sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menutup tirai Tahun Melawat Melaka 2024 dengan acara bermakna.

“Konsert ini bertujuan mengembalikan semula kegemilangan irama nasyid seperti era 1990-an dan mencetuskan fenomena baharu. Kami mahu nasyid kembali ‘bernafas’ dalam industri muzik tempatan,” kata wakil penganjur.

Selain Rabbani dan Hijjaz, konsert ini turut menampilkan bekas penyanyi kumpulan Raihan, Affad & Daqmie, serta penampilan khas daripada Zamani, Furhan XPose, Yasser Atak, dan Sazali MS untuk memeriahkan suasana.

Konsert Rahmati Melaka juga diharapkan menjadi platform untuk memupuk kesedaran dan penghayatan terhadap agama melalui lagu-lagu ketuhanan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis kemanusiaan seperti peperangan di Palestin.

Pihak penganjur menyasarkan kehadiran 3,000 penonton setiap malam bagi konsert berdurasi 1 jam 30 minit ini.

“Kapasiti dewan hanya mampu menampung sekitar 3,000 penonton, jadi kami menggalakkan peminat mendapatkan tiket seawal mungkin bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang. Kami gembira melihat sambutan hebat terhadap genre nasyid, membuktikan ia masih mempunyai peminat setia,” tambahnya.

Konsert ini bakal menjadi pentas pertemuan beberapa nama besar dalam industri nasyid tanah air yang pasti dinanti-nantikan peminat.

Tiket Konsert Rahmati Melaka dijual pada harga RM158 (Law Kana Bainana), RM128 (Intifada), dan RM88 (Iman Mutiara). Peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman web www.ticket2u.com.my

Written by: Salma


Previous post