Menurut laporan Buletin TV3, kejadian dikatakan berlaku Jumaat lalu, 12 Julai 2024 sekitar jam 1.45 petang.
Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman selepas pengsan ketika dirawat di Klinik Kesihatan Air Puteh.
Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang kawannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik penduduk kampung untuk memancing yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Mangsa dikatakan telah makan sekeping biskut yang dipercayai dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun berkenaan.
Menurut bapa mangsa, Alias Saras, 57 tahun, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak keempat dari lima beradik itu selepas diberitahu oleh isterinya Roslina Ahmad, 52 tahun.
Difahamkan, selepas makan makanan itu anaknya pengsan sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan. Bagaimanapun, Alias bersyukur anaknya itu semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital.