Selain itu, KPM turut mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka bertujuan memastikan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan tindakan intervensi bersesuaian.
“Melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta pelibatan ibu bapa, komuniti dan swasta. Kebersamaan dalam melaksanakan tindakan ini menunjukkan usaha yang optimum daripada semua pihak,” katanya lagi.
Selain itu, KPM juga telah melaksanakan pengesanan awal murid berisiko cicir dalam kalangan murid tingkatan 4 bagi memastikan mereka hadir menduduki peperiksaan SPM 2025.