Pelakon, Datin Seri Maria Farida tidak menafikan sehingga kini dia sering menerima ‘gangguan’ mesej nakal daripada lelaki lebih muda.
Maria atau nama lengkapnya, Maria Farida Atienza, 55, bagaimanapun tidak melayan mesej tersebut serta mengakui bahagia bersama suami tercinta, Datuk Seri Rahman Sakur.
“Semestinya ramai lelaki muda yang mencuba nasib, sentiasa hantar mesej di DM (Direct message) dan TikTok.
“Tetapi saya minta maaf, saya sangat bahagia dengan rumah tangga saya. Apa yang mereka tawarkan itu langsung tak sama dengan apa yang suami boleh bagi,” katanya.
Maria berkata demikian ketika ditemui di Kuala Lumpur Fashion Week 2024 berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Maria tidak membalas atau melayan usikan nakal yang dianggap sebagai satu gurauan itu.
“Saya tak balas, abaikan saja semua itu sebab saya pun dah biasa.
“Biasalah, mereka nak ajak dating, kahwin dan saya hanya gelak sahaja baca semua itu,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Maria sedang sibuk menjalani penggambaran sebagai hantu yang sangat mencabar baginya.
“Alhamdulillah, saya tak sangka di umur ini saya masih diperlukan dalam industri seni,” ujarnya.
Terdahulu, kecantikan Maria yang tidak dimamah usia menjadi sebutan ramai sehingga digelar ‘vampire’.
Sekadar info, Maria dan Rahman mendirikan rumah tangga pada 2015, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Sebelum berkahwin dengan Rahman, Maria pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Maria Farida Bukan Punca Pergaduhan Dengan Ibu, Anak Nourul Depp Jelaskan Isu Sebenar
Artikel Berkaitan: Kelihatan Awet Muda Walaupun Sudah Berusia 53 tahun, Netizen Terpegun Dengan Kecantikan Maria Farida
