Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Liza Hanim Tampil Dengan Sejuta Maaf

today19 December 2022

Background

Penyanyi Liza Hanim kembali menggegarkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul ‘Sejuta Maaf’.

Lagu ini menceritakan tentang luahan suara hati seseorang yang ingin memohon berjuta kemaafan namun berhadapan dengan pelbagai halangan sehingga menyebabkan hasratnya terkubur.

Menurut Liza, dia menggemari lirik yang dihasilkan memandangkan ia menyentuh jiwa dan perasaan serta mengajar erti menjaga hubungan yang kekal dan tidak mempunyai masalah.

“Saya suka dengan lirik yang dihasilkan oleh Sirkhan kerana lirik ini sangat menyentuh jiwa dan ia menceritakan bagaimana menjaga hubungan supaya kekal dan tidak berhadapan dengan masalah.

“Dalam mana-mana hubungan, kunci utama untuk terus kekal dan mempunyai persefahaman iaitu menjaga komunikasi dengan baik untuk mengelak perselisihan faham. Selain daripada kita perlu buang ego kerana sifat ego adalah punca keretakan hubungan kita sesama manusia terutamanya orang tersayang,” katanya.

Bukan itu sahaja, finalis Anugerah Juara Lagu 37 ini juga berharap pendengar dapat memahami maksud dan makna di dalam lagunya dan turut mengucapkan terima kasih kepada pendengar yang sudi mendengar dan memberi sokongan kepadanya.

“Saya berharap agar pendengar semua dapat memahami maksud tersirat lagu Sejuta Maaf dan terima kasih saya ucapkan kepada semua terutama peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dari awal menjejaki karier industri seni muzik ini sehingga kini,” katanya.

Menurut Sirkhan pula, lagu Sejuta Maaf ini menceritakan tentang perjuangan hati yang sedang berjauhan kerana perselisihan faham dan secara tidak langsung lagu ini boleh dijadikan sebagai permohonan maaf.

“Lagu Sejuta Maaf mengisahkan tentang kasih dan perjuangan hati orang yang berjauhan dek kerana perselisihan faham yang timbul akibat ego yang tinggi dan pertembungan pendapat yang berbeza.

“Lagu ini boleh dimanifestasi sebagai permohonan maaf secara tidak langsung atau suara hati orang yang ingin menerima maaf tetapi terhalang.

“Idea ini tercetus dari kisah benar rakan yang terpisah jauh dari keluarganya hampir berbelas tahun kerana fitnah dan ego yang telah membataskan,” katanya.

Sirkhan memilih Liza untuk menyanyikan lagu Sejuta Maaf ini memandangkan kekuatan dan kemerduan tona suara serta vokal Liza sesuai dengan lagu balada Melayu ciptaanya.

“Liza Hanim merupakan penyanyi kegemaran kerana kekuatan dan kemerduan tona suara dan vocal styling, sesuai dengan lagu-lagu balada Melayu ciptaan saya sebelum ini,” katanya lagi.

Muzik video Sejuta Maaf hasil ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen serta lirik Sirkhan boleh didapati di saluran rasmi YouTube Alternate Records dan Talents sejak 14 Disember 2022 yang lalu.

Lagu ini juga adalah edaran bersama Alternate Record Sdn Bhd dan Aci Aci Buka Pintu.

Written by: Salma


Previous post