Imbas untuk muat turun aplikasi

Yang Hangat

“Mahu Jual Aset & Pindah Ke Luar Negara” – Terdetik Tinggalkan Kerjaya Nyanyian, Rossa Pernah Anggap Dirinya Tidak Relevan

today1 August 2024

Background

Akibat kekeringan idea untuk muncul dengan buah tangan terbaharu dalam bidang muzik, bintang tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa pernah terdetik untuk meninggalkan kerjaya nyanyian sekitar tahun 2015.

Mula dikenali menerusi lagu Nada Nada Cinta sekitar tahun 1996, Rossa juga pernah terfikir mahu memulakan kehidupan baharu di luar negara bersama anaknya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Rossa (@itsrossa910)

“Pada waktu itu, saya seperti tandus idea. Pelbagai perkara yang saya fikirkan, sehingga saya terdetik untuk menjual semua harta dan berhenti bergelar penyanyi kerana pada saat itu, saya rasa seperti sudah kehabisan idea.

“Kadang-kadang, timbul perasaan yang saya ini sudah tidak relevan dengan kemajuan muzik semasa untuk bersaing dengan bakat-bakat lain. Saya sudah hasilkan pelbagai jenis lagu, namun saya tidak mahu untuk mengeluarkan lagu yang seakan karya sebelum ini atau menghasilkan sesuatu yang sama dan berulang-ulang.

“Sampai saya fikir nak berhenti menyanyi dan jual aset-aset yang saya miliki dan mahu berpindah ke luar negara bersama anak untuk memulakan hidup baharu,” katanya.

Namun begitu, Rossa yang meledak dengan lagu Ayat-Ayat Cinta ini tidak berputus asa dan muncul dengan buah tangan yang menampilkan sisi berbeza kerjaya muziknya.

“Mungkin ketika itu, saya kurang percaya pada diri sendiri. Saya juga lihat kemunculan ramai artis dan penyanyi yang meningkat naik. Bakat mereka juga semua bagus dan bukan kalang-kalang. Saya berfikir adakah mampu untuk bersaing dengan pendatang baharu atau tidak?

“Saya tak mengalah dan muncul dengan sesuatu yang baharu menerusi album A New Chapter. Album terbabit menampilkan kelainan kerana saya merakamkan beberapa lagu di Los Angeles, Amerika dan saya menggunakan khidmat penerbit tersohor di sana, Mitch Allan yang pernah bekerjasama dengan Demi Lovato, Kelly Clarkson dan Selena Gomez,” katanya lagi.

Rossa menceritakan pengalaman terbabit menerusi filem dokumentari bertajuk All Access Rossa 25 Shining Years ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia bermula 1 Ogos ini.

Turut berkongsi mengenai rahsia kerjaya dan kehidupan peribadinya, filem All Access Rossa 25 Shining Years bakal ditayangkan di Malaysia pada September ini.

Written by: Salma


Previous post