
KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, James Ratib berkata keluarga terjejas akibat banjir di beberapa daerah di negeri ini akan turut diberikan bantuan kewangan.
Katanya, bantuan akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana alam itu.
“Saya telah dimaklumkan selain bantuan-bantuan segera berbentuk bakul makanan, kerajaan juga akan memberikan bantuan wang tunai, belum pasti berapa jumlahnya, saya akan maklumkan kemudian.
“Apa yang penting kita mahu meringankan beban keluarga yang ditimpa malang. Bantuan akan diagihkan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga terjejas akibat banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di Dewan Komuniti Kota Marudu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), semalam.