Hot FM

Masih Anggun & Jelita Di Usia 50-an, Maria Farida Dipuji Seksi – “Saya Berpakaian Untuk…”

Pelakon Datin Seri Maria Farida sering menerima pujian ramai dek kerana penampilannya yang seksi dan kekal jelita meskipun usianya kini sudah menginjak usia 50-an.

Kata Maria atau nama lengkapnya, Maria Farida Atienza, dia sering menerima komen warganet yang menganggap dirinya masih kelihatan seksi, namun menegaskan cara berpakaian yang dipilih adalah untuk kepuasan diri sendiri.

Bahkan, dia sudah lali dengan komen negatif warganet dan memilih untuk tidak membalas atau menyekat pengguna media sosial.

“Tentang orang yang berkata saya masih seksi, saya berpakaian untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Suami saya juga okay. Selagi suami saya okay, saya okay. Saya tidak berpakaian untuk memuaskan hati sesiapa.

“Apabila orang kata saya seksi, saya tidak rasa saya seksi. Saya rasa diri saya biasa sahaja. Jadi saya tidak faham, tetapi mungkin setiap orang ada pendapat masing-masing. Jika mereka mahu menghentam saya, tidak mengapa.

“Saya tidak membalas komen, tidak sekat tetapi adalah membaca (komen). Itu pun sekadar membaca kerana perkara seperti ini sudah saya lalui berpuluh-puluh tahun. Jadi lama-kelamaan, saya anggap biasa sahaja,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tips kekal awet muda pula, Maria menegaskan dia tidak pernah melakukan sebarang rawatan kosmetik atau suntikan untuk mengekalkan kejelitaan wajahnya, sebaliknya memilih untuk menua secara semula jadi.

Menurutnya, dia tidak begitu gemar menggunakan produk penjagaan kulit dan hanya mendapatkan rawatan asas sekadar menjaga kesihatan wajah.

“Apa yang saya buat hanyalah pergi mendapatkan rawatan wajah kerana saya ditaja.

“Saya sebenarnya tidak begitu suka memakai produk penjagaan kulit. Namun, rawatan yang saya buat hanyalah rawatan biasa sahaja. Bukan jenis yang melibatkan cucuk sana sini.

“Bagi saya, menua secara semula jadi itu lebih baik berbanding cucuk muka hingga kelihatan bengkak dan pelik. Lebih baik kita hargai apa yang Allah telah berikan dan manfaatkan sebaik mungkin.

“Di media sosial, ramai yang sering menuduh saya cucuk, buat pembedahan dan macam-macam lagi. Sedangkan bagi saya, orang yang melakukan suntikan sebenarnya kelihatan kurang menarik,” jelasnya.

Maria berkongsi perkara tersebut ketika majlis tayangan perfana filem lakonan terbaharunha yang berjudul Pemuja bertempat di TGV The Starling, Petaling Jaya pada Selasa.

Mengulas lanjut, pelakon filem 6 Jilake itu berkongsi bahawa dia kelihatan sentiasa awet muda juga adalah kerana faktor genetik yang dimiliki oleh keluarganya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ahli keluarga saya semuanya kelihatan awet muda. Ibu saya, arwah nenek dan di sebelah keluarga ayah termasuk dari Filipina, semuanya nampak muda.

“Jadi saya sangat bersyukur dengan perkara itu dan rasa tidak mengapa untuk menerima apa yang ada,” kongsinya.

Sekadar info, Maria bakal tampil buat pertama kalinya menerusi filem seram berjudul, Pemuja bergandingan bersama, Yasmin Hani, Qi Razali, Namron dan ramai lagi.

Exit mobile version