Tanyalah Ustaz: Akad 40 menyatukan 20 pasangan asnaf dan yang kurang berkemampuan sempena ulang tahun TV3 ke-40 dengan bertemakan ‘Inspirasi Generasi’ ahad lalu bertempat, di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi secara berperingkat.
Kesemua 40 pengantin ini terdiri daripada golongan asnaf, kurang berkemampuan dan mualaf yang masih berusaha untuk mempelajari tentang agama Islam, dan mereka telah diraikan dalam sebuah majlis akad nikah yang istimewa.

Acara pernikahan secara beramai-ramai ini adalah sebuah inisiatif TV3 yang bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam melaksanakan ibadah perkahwinan dan memudahkan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi menghadapi pelbagai cabaran seperti kos perkahwinan yang tinggi.
Majlis resepsi sederhana tetapi meriah ini telah disempurnakan dengan kehadiran para jemputan khas, ahli keluarga dan sahabat handai yang turut serta memeriahkan suasana. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu khas iaitu Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd. Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan Yang Berbahagia Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang turut serta sebagai jurunikah.
Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan Penerbit Eksekutif, Ruzmi Kamaruddin memberitahu, persiapan untuk mengadakan acara pernikahan ini telah diadakan sejak tahun lalu.
“Tanyalah Ustaz: Akad 40 bersempena dengan ulang tahun TV3 tahun ini telah membuat perancangan dan persiapan dari awal tahun lagi. Bagi pihak TV3, kami amat berterima kasih kepada pihak penaja dan juga semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kami akan terus berusaha menyiarkan program dan acara yang bermanfaat kepada penonton dan masyarakat”
Tambahan beliau, “Dalam masa yang menggembirakan ini, saya turut bersimpati dengan isu yang terjadi di Palestin. Kita juga perlu bantu mengikut kemampuan kita sendiri. Pihak TV3 ada menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan.”
Kerjasama antara TV3 dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini mendapat kelulusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, program tersebut adalah kolaborasi yang amat baik antara Media Prima Berhad bersama JAWI dalam menzahirkan usaha pemerkasaan kekeluargaan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Penjagaan nasab keturunan yang amat disarankan oleh syarak menerusi lafaz ijab dan qabul sahnya ikatan perkahwinan suami isteri,” katanya.
Beliau turut berpendapat program ini adalah salah satu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam komuniti masyarakat.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berperanan untuk menyokong program pembangunan keluarga ke arah pengukuhan pembentukan masyarakat madani,” ujar beliau.
Tanyalah Ustaz: Akad 40 menampilkan dua pengacara berwibawa Tanyalah Ustaz, iaitu Tajdid Hadhari sebagai pengacara utama dan Da’i Annas sebagai pengacara belakang pentas.
Ahmad Fedtri Yahya pula dipilih mengacarakan majlis resepsi pernikahan. Majlis resepsi sederhana tetapi meriah ini telah disempurnakan dengan kehadiran jemputan khas, ahli keluarga dan sahabat handai yang turut serta memeriahkan suasana.
Tanyalah Ustaz merupakan program harian yang disiarkan pada setiap pagi di TV3 dan TV9 dengan membawakan segmen-segmen yang menjadi sumber rujukan utama masyarakat Islam di Malaysia dalam mencari pencerahan tentang pelbagai aspek kehidupan Islam.

Program ini terus mendapat sambutan hangat daripada penonton setia dengan ahli panel yang terdiri daripada asatizah yang dihormati.
Tanyalah Ustaz sentiasa membawakan perbincangan inspirasi pagi terbaik kepada anda tentang isu semasa dan ilmu berasaskan agama.
Program yang turut dirakam untuk tontonan umum ini akan disiarkan pada 8 Jun hadapan selama satu jam bermula jam 7 hingga 8 malam di TV3.

Selain itu anda juga boleh strim secara langsung dalam HD melalui aplikasi Tonton atau www.tonton.com.my.
Untuk maklumat lebih lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari https://www.xtra.com.my/ dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.
Pastikan ‘hashtag’ #TV3SentiasaBersamamu untuk menghangatkan perbualan tentang sambutan ulang tahun TV3 ke-40 di laman media sosial sepanjang bulan Jun ini.