
KUALA LUMPUR: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang Sabtu lepas, ditemui di bawah timbunan batu-bata petang tadi.
Ketua Zon 4 (Hulu Langat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 5.10 petang.
Beliau berkata, bomba menemui mayat berkenaan pada jarak 400m dari lokasi kejadian dan 100m dari pos kawalan bomba.
“Pada mulanya, kami telah korek kawasan yang dikenal pasti ada mayat, namun tidak jumpa.
“Selepas empat kali laungan azan, tidak lama kemudian anggota saya melihat ada lalat hurung di lokasi berkenaan dan ketika itulah kami dapat petunjuk lalu mula menggali semula dan menemui tubuh kanak-kanak itu,”…