Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Meerqeen Beri Keutamaan Kepada Melur Untuk Firdaus 2, Tangguh Tawaran Berlakon di Indonesia

today2 March 2023

Background

Sebelum ini pelakon Meerqeen memberitahu bakal terlibat dalam beberapa penggambaran di negara jiran, Indonesia selepas membuat kunjungan pertama di sana, tahun lalu.

Terkini, bintang utama Melur Untuk Firdaus itu memaklumkan terpaksa menolak dan menangguhkan beberapa tawaran di sana kerana mahu memberi fokus kepada drama Melur Untuk Firdaus 2.

“Kedengaran agak gila tolak dan tangguh beberapa tawaran di Indonesia tetapi fokus ketika ini ialah untuk Melur Untuk Firdaus 2. Bagi saya, tiada sesiapa yang boleh ganti pelakon untuk watak Firdaus selain saya,” katanya.

Drama rantaian Melur Untuk Firdaus siaran TV3 yang menggandingkan Meerqeen dan Anna Jobling merekodkan 11 juta penonton sehingga episod akhir pada tahun lalu.

Kini penggambaran untuk Melur Untuk Firdaus 2 sedang dijalankan dan bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Menjelaskan perkara tersebut, Meerqeen berkata terdapat pertindihan jadual yang menyebabkan dia terpaksa berbuat demikian namun tetap optimis untuk mengembangkan karier di sana.

“Ya, jadual bertindih tetapi sekiranya masih diberikan peluang, rezeki dan masa, Insya-Allah saya akan tetap melebarkan sayap di sana.

“Konsep di Indonesia, jika mereka hendak pelakon itu, mereka pasti tetap akan mendapatkannya dan sanggup menunggu.

“Apa pun, keutamaan saya tetap di Malaysia dan membolosi industri hiburan di sana pastinya bukan impian saya sahaja tetapi semua pelakon tanah air lain,” jelasnya ketika ditemui usai majlis anugerah Gempak Most Wanted Award 2022, di Shah Alam, baru-baru ini.

Meerqeen meraih trofi Video Trending Tergempak menerusi #SwipeChallenge.

Selain itu, drama Melur Untuk Firdaus gandingan Meerqeen bersama Anna Jobling meraih trofi kategori Drama Trending Tergempak.

Written by: Aqilah


Previous post