Sementara itu, Pinn Yang juga memaklumkan dirinya mahu menyumbang wang tunai sebanyak RM50,000 buat Yayasan Chow Kit dan bercadang mahu menganjurkan satu majlis kenduri serta beramah mesra bersama pengikut media sosialnya.
“Pertama sekali, saya akan menyumbangkan wang tunai sebanyak RM50,000 mewakili para pengundi yang mengundi saya kepada Yayasan Chow Kit.
“Saya juga sudah berjumpa dengan pihak mereka dan memaklumkan tentang perancangan saya ini.
“Dan mungkin juga saya bercadang mahu menganjurkan satu kenduri untuk menyantuni para pengikut saya,” katanya.
Menurut pempengaruh itu, anugerah yang dimenanginya pada malam tadi sangat memberikan kesan positif kepadanya. Malah, ini merupakan kali pertama Pinn Yang muncul di kaca televisyen.
“Dulu saya hanyalah individu di belakang tabir dan mula menceburkan diri dalam bidang penciptaan kandungan pada tahun lepas tetapi berjaya memenangi anugerah ini. Saya bersyukur sangat,” katanya lagi.