Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Mengaku Salah Atas 2 Pertuduhan Berkaitan Dadah, Anak Perempuan Artis Popular 90-an Dipenjara 13 Bulan

today17 January 2023

Background

Anak artis wanita popular era 90-an dihukum penjara 13 bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Syarra Sudarman, 29, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada jam 11.45 pagi, 12 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Syarra dikenakan hukuman penjara lapan bulan bagi kesalahan tersebut bermula dari tarikh dia ditahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada jam 3 petang, 12 Oktober 2022.

Tertuduh juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap kerana mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu di Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan berkenaan bermula hari ini.

Saiful turut mengarahkan tertuduh menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post