Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat berkongsi dia tidak mengalami alahan yang teruk apabila mengandungkan anak kedua kali ini.
Walaupun begitu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat ini berasa sedih apabila mengalami alahan tidak boleh meminum sesetengah minuman seperti air Milo.
“Saya tiada alahan buat masa sekarang, sama juga pada kehamilan pertama juga tiada alahan yang pelik-pelik.
“Sebenarnya ada satu benda yang saya sangat suka tapi saya tak boleh minum, iaitu milo. Saya sangat sedih sampai hari-hari saya sedih apabila tak boleh meminumnya.
“Saya tak tahu mengapa, saya akan muntah. Saya cuba untuk minum tapi memang tak boleh sehingga sekarang,” kongsinya ketika ditemui XTRA pada majlis pelancaran drama, baru-baru ini.
Disoal mengenai jantina cahaya mata kedua ini, pelantun lagu Bukan Wanita Sempurna itu memberitahu dia dan suami yang juga pengacara, Nabil Mahir belum mengetahuinya namun akan mengumumkan kelak.
“Saya dan suami belum tahu jantina bayi, sepatutnya dah boleh tahu tapi kami nak buat kejutan.
“Kita akan umumkan pada hari jadi Nayla nanti dan juga ada beberapa lagi kejutan.
“Insya-Allah, kami akan menanti kelahiran bayi kedua ini pada pertengahan Disember nanti,” ujarnya.
Biarpun berbadan dua, Ayda kini aktif dalam menjalani penggambaran sebuah drama malah mengakui kondisi tubuhnya baik untuk terus bekerja.
“Saya mengambil keputusan untuk berlakon selepas saya dapat tahu saya hamil. Saya rasa badan saya dapat terima untuk kehamilan kali ini. Pada kehamilan pertama, saya tak boleh bangun sehingga tidak mahu bekerja langsung.
“Untuk kali ini memang berbeza, sangat aktif dan saya dapat bekerja seperti biasa tapi ada juga masa saya terpaksa rehat kerana sakit di bahagian belakang.
“Saya ada maklum kepada pihak produksi dan minta maaf jadi mereka sangat memahami,” katanya.
Terdahulu, Ayda dan Nabil tampil mengumumkan bahawa mereka sedang menanti kehadiran cahaya mata kedua yang dijangka lahir pada penghujung tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tahniah! Ayda Jebat & Nabil Mahir Bakal Timang Cahaya Mata Kedua
ARTIKEL BERKAITAN: Statement ‘Berpeluh-Peluh Untuk Cuba Dapatkan Anak Kedua’ Jadi Pertikaian, Netizen Kritik Kenyataan Ayda Jebat & Nabil Mahir?