
PETALING JAYA: Menteri perpaduan negara mahu polis menyiasat dakwaan bahawa seorang jurujual dimaki dengan kata-kata kesat serta diugut di Shah Alam.
Aaron Ago Dagang mahu tindakan sewajarnya diambil kerana kejadian tersebut dikatakan turut melibatkan perkataan berbaur perkauman ‘yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama ini’.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kaum,” katanya dalam kenyataan, menambah tindakan yang bersifat perkauman harus ditangani dengan serius.
Sebelum ini, satu catatan di media sosial semalam mendakwa seorang jurujual wanita berketurunan Dayak dimaki serta diugut akan digari semasa memproses pesanan seorang pelanggan.
Catatan tersebut mendakwa seorang lelaki melemparkan kata-kata berbaur perkauman, dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai di Shah Alam.