Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Minta Buka Semula Kes Untuk Lakukan Siasatan Lanjut, Keluarga Dakwa Kematian Faziani Rohban ‘Diragui’

today20 June 2022

Background

Keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019 lalu telah membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dibuka semula kerana mengesyaki terdapat unsur keraguan dengan kematian beliau.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tumpat, Kelantan pada jam 1 petang semalam selepas tiga tahun kematian pengasas produk itu.

Memetik daripada laporan Harian Metro, ahli keluarga allahyarham telah dihubungi dan mengesahkan bahawa laporan telah dibuat bagi menuntut siasatan lanjut atas kematian Faziani yang disyaki mempunyai unsur lain.

“Selepas kematian Allahyarham, kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasil dapatan peguam terbabit, mendapati kematian Allahyarham diragui.

“Kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.

“Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah turut mengesahkan telah menerima laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga Allahyarham.

Jelasnya, pihak polis akan merujuk kepada laporan yang dibuat kepada Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu kerana kejadian tersebut berlaku di Thailand.

Terdahulu, pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban telah terbabit dalam sebuah kemalangan ketika dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk menyampaikan sumbangan.

Namun, Faziani telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim cedera.

Sumber: Harian Metro

Written by: Salma