
PETALING JAYA: NGO pesawah menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memuktamadkan segera mekanisme penyaluran insentif bajak dan tuai, yang didakwa masih tiada jawapan sehingga kini walaupun musim menuai padi akan bermula bulan depan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata apabila perkara itu diajukan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), agensi berkenaan turut memaklumkan tidak mempunyai maklumat mengenai mekanisme dan bila insentif menuai akan disalurkan.
Beliau turut mencadangkan insentif bajak dinaikkan daripada RM100 kepada RM500 dan insentif menuai sebanyak RM300 berbanding RM50 per hektar, semusim, dalam usaha mengimbangi kenaikan diesel bermula Jun lalu.
“Hal ini cukup membebankan pesawah yang mana harga padi terjamin tidak pula dinaikan berikutan kenaikan kos bersawah…